Seni

Pesona Dan Versatiliti Amir Masdi Yang ‘Mahal’

Dalam dunia hiburan yang sarat dengan bakat baharu, tidak mudah untuk menyerlah tanpa keunikan tersendiri. Namun, Amir Masdi membuktikan dirinya memiliki aura bintang dan personaliti yang sukar ditandingi. Pesona itu ditambah pula dengan versatiliti dalam menjiwai pelbagai genre muzik, menjadikan kehadirannya di persada seni tanah air benar-benar ‘mahal’.

Bagi Amir Masdi, vokal bukan sekadar medium, tetapi jiwa yang membentuk identiti. Mendengar nada suaranya sahaja sudah cukup untuk kita tahu itu nyanyiannya.

Dari pentas pertandingan hinggalah ke ruang digital, dia membuktikan bahawa versatiliti bukan gelaran kosong, sebaliknya cerminan kerja keras dan keberanian mencuba pelbagai sisi seni.

Hampir sedekad dalam industri, namanya kini sebaris dengan penyanyi lelaki hebat negara. Popular dengan lagu Asmara, Puas, Nurcinta, Sengaja dan Calar, Amir menonjol dengan vokal yang segar, penuh pesona dan sarat emosi. 

Teruskan: Rendah Hati Walau Sejauh Mana Kita Pergi

Setiap lagu yang dibawakan Amir Masdi bukan sekadar dendangan tetapi ia adalah cerita, jiwa dan rasa yang mengikat pendengar. 

Miliki Nilai Tersendiri

Sejujurnya, sudah lama saya mengikuti perjalanan penyanyi yang sedang meniti puncak populariti ini. Sepanjang menjadi wartawan hiburan, saya sudah biasa mendengar pelbagai jenis suara, namun keunikan vokal Amir berjaya mencuri perhatian.

Sebelum menulis rencana ini, saya juga kembali mendengar beberapa lagu nyanyian semula (versi Amir). Daripada Di Penjara JanjiThe Sound of SilenceCareless Whisper hingga Sepi Sekuntum Mawar Merah dan Bunga Angkasa. Lagu-lagu itu membuktikan sesuatu yang jarang ada pada penyanyi muda iaitu suara yang versatil, penuh pesona dan kaya dinamika.

Julat vokalnya luas dengan warna yang berlapis. Nada rendahnya hangat dan berisi, sementara nada tingginya tidak pernah membingitkan, malah jernih dengan kawalan yang kemas. Keistimewaan paling ketara adalah tona serak-serak basah yang asli dan sukar ditiru sesiapa.

Ditambah keupayaan menukar warna vokal mengikut keperluan lagu, Amir berjaya menghidupkan pelbagai genre tanpa kehilangan identitinya. Nyanyiannya tidak kosong, sebaliknya sarat dengan ekspresi jujur yang mudah meresap ke jiwa pendengar.

Amir atau nama lengkapnya Amir Syazwan Masdi ini juga bijak bermain dengan dinamik. Dia tahu bila perlu menahan dengan bisikan lembut, bila masa untuk melontar tenaga penuh. Vibratonya pula terkawal, tidak berlebihan atau hambar yang sekadar menambah tekstur pada emosi lagu. Lagu seperti Nurcinta dan Sengaja jelas menunjukkan kebijaksanaannya bermain dengan transisi, daripada bisikan halus ke ledakan jiwa yang meninggalkan kesan mendalam.

Tona suaranya mempunyai warna yang unik. Tidak terlalu serak, tidak juga terlalu clean. Ada ‘husky touch’ yang menambah rasa. Amir ada X-factor itu, hanya jarang diperkatakan.

Teruskan: Humblebragging: Helah Puji Diri Cara Halus

Kejujuran dan versatiliti yang dimilikinya menjadikan setiap persembahan bukan sekadar hiburan,
tetapi pengalaman yang mahal dan sukar ditiru.

Aura Mahal

Mengapa saya menyebut suara Amir ini “mahal”? Kerana bakat istimewa ini bukan sahaja hadir sebagai anugerah, tetapi lengkap dengan tekstur, cerita dan emosi yang membentuk identiti. Vokalnya bukan sekadar sedap atau powerful, tetapi berkarakter. Lembut dalam ketepatan, lantang dalam tenaga dan seimbang dalam rasa.

Serak basahnya bukan sekadar kesan semula jadi, sebaliknya menjadi cap jari yang hidup dalam setiap lagu. Di tangannya, lagu patah hati seperti Nurcinta, Sengaja dan Calar tidak sekadar menjadi naratif luka dan kehilangan, tetapi dibawa dengan jujur, penuh penceritaan.

Dia tidak menjual kesedihan dengan drama berlebihan, sebaliknya masuk perlahan ke dalam cerita lagu lalu menyampaikannya dengan penuh jiwa. Benarlah kata orang, “When a voice doesn’t just sing, it tells the whole story.”

Peluang berduet dengan penyanyi tersohor dan berpengalaman seperti Ziana Zain,
pastinya menjadi pengalaman bermakna buat Amir.

Suara, Jiwa Dan Legasi

Di luar aspek teknikal, attitude Amir juga menjadi kunci kejayaannya. Kesungguhan dan fokusnya pada kerja seni jelas terlihat. Dia bukan jenis yang terburu-buru mengejar sensasi, sebaliknya membina karier dengan disiplin. Daripada cara dia membawa diri, kesederhanaan dalam bercakap hingga ke komitmen pada nyanyian, semua itu melengkapi gambaran seorang penyanyi yang serius dengan kerjayanya.

Justeru itu, dia semakin mendapat tempat di mata penggiat industri. Dari nama-nama besar seperti Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Dayang Nurfaizah hingga Kumpulan Search mengakui bakatnya. Dia juga tidak pernah meniru atau dibayangi sesiapa, sebaliknya membina jalannya sendiri.

Pentas besar seperti Anugerah Juara Lagu mengukuhkan kedudukannya (Kau Sakiti di AJL-35, Debu bersama Dayang Nurfaizah di AJL-37 dan Sengaja di AJL-39).

Kolaborasi bersama Edry Abdul Halim yang dikenali ramai dan kaya pengalaman pastinya suatu pengalaman berharga buat dirinya.

Album AM:PM yang dirakam di Manchester pula membuktikan keberaniannya bereksperimen sebagai penulis lirik dan pencipta lagu, dengan kolaborasi bersama penerbit berpengalaman Edry Abdul Halim. Lagu ciptaan bersama, Nurcinta, sebagai tema drama popular membuka ruang lebih luas untuknya dekat dengan khalayak.

Hari ini, Amir Masdi sedang berkembang. Mungkin tidak memecut laju, tetapi konsisten, lebih bermakna apabila berada dalam acuan sendiri. Suaranya mungkin lahir daripada anugerah, namun kariernya dibina dengan kerja keras, keberanian dan kejujuran.

Teruskan: Sebiji Epal Waktu Pagi Lebih Baik Daripada Secawan Kopi

Dalam industri yang sering melahirkan wajah baharu, Amir berdiri teguh dengan keaslian yang menjadikan pesonanya benar-benar “mahal”. Dia tidak cuba menjadi sesiapa, tidak bersaing di lorong orang lain, sebaliknya percaya pada nilai seni yang dibawanya.

Sebagai pemerhati industri muzik yang menyaksikan ramai naik dan jatuh, saya percaya Amir sedang membina legasinya yang akan dikenang. Meminjam kata-kata Dayang Nurfaizah, “Besar bakat dia dalam industri muzik kita.” Saya setuju.

Walaupun kini dia sudah berada di kalangan terbaik, ruang untuk meneroka sisi lain dirinya masih luas terbentang dan peluang yang saya yakin akan mampu dicapai dengan kerja keras, keberanian dan kejujuran yang sentiasa menjadi tonggak perjalanan seninya.

Hari ini, Amir Masdi bukan lagi hanya ‘Juara Akademi Fantasia 2016 (AF16). Dia kini berdiri sebagai penyanyi matang yang dibentuk oleh jatuh bangun, eksperimen dan keberanian menjadi diri sendiri.

Suaranya mungkin tidak “sempurna” dalam kerangka konvensional, tetapi justeru itulah yang menjadikannya unik. Dalam dunia hiburan yang sentiasa berubah, Amir membuktikan dirinya bukan sekadar “one hit wonder”. Dia penyanyi dengan suara, jiwa dan disiplin yang mampu menjadikan dirinya bertahan lama.

Versatiliti vokal dan sikap profesional yang ditunjukkan menjadikan Amir bukan sahaja milik pentas hiburan hari ini, tetapi juga bintang yang punya potensi terus menyinar untuk tahun-tahun mendatang.

Ya, pastinya proses pengasahan masih berjalan, daripada kawalan emosi, artikulasi lirik hingga keberanian menjelajah genre lain. Namun satu hal pasti, dia berada di laluan yang betul dan setiap langkahnya diambil dengan penuh sedar.

Amir Masdi, pesonanya bagai bintang kejora yang meniti di persada seni tanah air.

Related posts
Seni

Rumah Yang Tidak Lagi Sama

Kau adalah rumah. Tempat yang pernah suatu masa aku jadikan perlindungan. Ruang untuk aku bersandar…
Read more
Gaya HidupSeni

Hanis Zalikha - Rugi Tak Rakam Momen Bersama Keluarga

Teknologi digital serba canggih dan moden. Memang rugi jika tidak dimanfaatian sebaik…
Read more

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *