Ada jenis malu yang datang dan pergi. Tapi ada juga malu yang akan diingat sampai mati — bukan sebab orang lain, tteapi sebab diri sendiri tidak pernah mampu melupakannya.
Ada satu ayat yang saya dengar dan terus terdiam:
Baca juga: 7 Diet Seimbang Elak Stres
“Jangan jahat-jahat sama orang. Nanti dibalas dengan kebaikan, malunya sampai akhirat.”
Apabila Malu Jadi Parut Kekal Dalam Hidup
Ya, kata-kata ini nampak ringkas -bersahaja. Tetapi, apabila direnung betul-betul, ia mengandungi satu hakikat yang sangat dalam.
Rasa malu yang datang apabila kita sedar, kita yang salah layan orang – tapi dia tidak membalas dengan dendam, sebaliknya hulur kebaikan. Bahkan sesuai yang lebih mahal – doa yang tulus. Ya, apabila kita buat jahat dibalas kebaikan. Huhhh… Malunya.
Dan, itulah malu paling pedih.
Baca juga: 19 Langkah Bangkitkan Keyakinan Diri
Buat Jahat Dibalas Kebaikan
Kadang-kadang, kita terlalu mengikut emosi. Kita ‘main hembus’ saja apa-apa yang dirasakan betul. Kita sindir. Kita permainkan. Kita buat orang yang tidak bersalah menjadi mangsa. Mungkin sebab cemburu. Mungkin sebab marah. Atau mungkin… sebab kita fikir dia tidak akan melawan.
Tapi satu hari, kita tersedar – orang yang kita layan dengan tidak baik itu, tidak pernah pun membalas semula. Dia diam. Dia senyum. Dia masih melayan kita dengan baik.
Dan saat itu… rasa malu itu datang seperti tamparan daripada Tuhan.
Bukan sebab dia membalas tapi sebab Tuhan balas dengan cara paling halus… tapi paling dalam. Terkesima kita tanpa kata-kata.

Baca juga: Berhenti Bertengkar. Ini 3 Cara Cari Titik Keserasian
Hati Diuji
Apabila ego kita diuji dengan layanan baik. Dihulur kebaikan yang tidak pernah kita jangkakan.
Bayangkan kita pernah menyindir seseorang. Kita pandang rendah, kita kasar. Tapi masa kita susah dialah yang tolong. Bukan sebab dia nak tunjuk baik, tapi sebab memang dia orang baik.
Waktu itu, kita tidak tahu hendak letak muka di mana.
Bukan sebab dia memalukan kita, tapi kerana hati kita sendiri yang berasa tertampar dek kebaikannya.
Contoh paling mudah – bayangkan satu hari, kita pernah kutuk jiran sebab suka menyibuk.
Kita tak pernah balas senyumannya.
Kita buat-buat tak nampak kalau dia beri salam.
Tapi suatu hari, kita jatuh sakit.
Dan jiran itulah yang datang menghantar bantuan (semangkuk bubur, misalnya). Tanya khabar kita. Tolong ambil anak kita dari sekolah sebab dia tahu kita tak mampu bergerak seperti biasa.
Rasa hendak menangis. Bukan sebab sakit. Tapi sebab hati kita kalah.
Balasan.
Ya, lumrah apabila kita buat jahat, kita sangka orang akan balas dengan perkara sama.
Tapi bila mereka balas dengan lembut, kita tiada tempat untuk melepaskan rasa bersalah.
Itulah kuasa sebenar orang baik.
Mereka tidak perlu membalas dengan caci maki sebab kebaikan mereka sendiri sudah cukup untuk menyedarkan dan melembutkan hati kita yang keras. Akhirnya kita terdiam kerana malu.
Pun, jangan takut dengan rasa malu itu. Sebab kadang-kala, rasa bersalah itulah yang bawa kita kembali kepada Tuhan.
Membuat kita minta maaf dan belajar untuk tidak mengulangi kesilapan sama.
Ya, malu itu pahit. Pada masa sama, ubat mujarab untuk hati.
‘Ubat dan penawar’ yang Tuhan hantar melalui orang-orang baik yang pernah kita sakiti.
Baca juga: Sikap Ibu Bapa Bentuk Peribadi Dan Masa Depan Anak
Rahmat Dan Peluang Kedua
Bukan semua dapat rasa teguran seperti itu. Apabila Tuhan beri kita rasa bersalah, itu rahmat. Itu peluang untuk berubah.
Justeru, tidak perlu menunggu dihina untuk meminta maaf. Kadang-kala satu mesej “Aku minta maaf atas apa yang aku pernah buat dulu,” cukup untuk membuka jalan reda. Menjernihkan hati dan melembutkan jiwa. Kita tidak akan kalah apabila minta maaf. Dan semoha kita akan menang di mata Tuhan.
Jadi, kalau kita pernah buat salah pada seseorang yang tidak pernah membalas semula perbuatan kita, cepat-cepat minta maaf.
Bukan sebab dia tidak rasa sakit atau terhina. Tapi kerana dia menyerahkan semuanya kepada Tuhan.
Dan apabila Tuhan yang ambil alih… malu itu akan menjadi parut kekal dalam hati dan hidupp kita sampai hujung nyawa.


