Setiap kita pastinya ada impian dan harapan yang ingin diraih. Kemudian, kita berusaha untuk merealisasikan semua itu. Sayang… Hasilnya tak kunjung tiba, mula rasa putus asa untuk capai impian itu.
Kadangkala kita berasa seperti mahu menyerah kalah dan putus asa untuk capai impian itu. Setiap hari baru yang kita jalani seolah-olah tiada sebarang perubahan. Tetap sama seperti semalam dan hari sebelumnya.
Semua masalah dalam hati dan kebimbangan kita terus memburuk. Kita tertanya-tanya, mengapa semua ini berlaku kepada diri kita.
Kita terus bertanya kepada diri sendiri mengapa kita tidak bernasib baik seperti orang lain (yang berjaya dalam usaha mereka).
Padahal setiap hari tanpa gagal dan jemu, kita terus berdoa kepada Tuhan tetapi setakat ini Dia masih tidak (baca; belum) menjawab doa kita.
Lalu, kita mulai kehilangan harapan. Sekarang kita berfikir bahawa, mungkin kita ditakdirkan sering gagal dalam hidup atau mungkin seseorang telah menyumpah kita. Kita gagal dan akan terus gagal. Tiada pencapaian dalam hidup.
Anda rasa begitu?
Nanti dulu. Jangan sebegitu cepat menghukum diri sendiri, lalu hentikan semua usaha. Tuhan tidak pernah tidur atau terleka walau sesaat.
Dia melihat kita sepanjang masa, Tuhan mendengar doa kita dan Dia mempunyai sesuatu yang istimewa untuk kita.
Barangkali, mengapa agaknya ada segelintir kita begitu mudah menyerah kalah dan cepat putus asa. Kemudian dengan mudahnya melepaskan semua impian juga harapan mereka?
Baik, antara sebab mengapa seseorang itu cepat putus asa untuk terus mengejar impiannya adalah kerana kecenderungan mereka melihat sejauh mana perlu berusaha dan bukannya berapa banyak pengalaman juga ilmu yang diperolehi.
Selain itu, ada beberapa punca dan sebab mengapa anda cepat putus asa untuk mengejar impian hidup. Lihat dan baca dengan teliti senarai berikut ini. Mana tahu anda pernah menghadapinya.
Waswas dengan kemampuan sendiri? Lihat – 19 Cara Bina Keyakinan Diri
17 sebab mengapa kita cepat putus asa untuk mengejar impian
1. Mengharapkan hasil yang cepat.
2. Berhenti percaya kepada kemampuan diri sendiri.
3. Terperangkap dalam masa lalu.
4. Takut pada masa depan.
5. Menolak perubahan.
6. Putus asa dengan kemampuan diri sendiri.
7. Percaya pada kelemahan diri daripada yakin disebaliknya pasti ada tersembunyi kekuatan yang perlu digali.
8. Berasa dunia berhutang kepadanya.
9. Lebih takut pada kegagalan berbanding keinginan untuk berjaya.
10. Tidak pernah membayangkan matlamat akhir segala usahanya.
11. Selalu membanding dirinya juga usaha yang dilakukan dengan orang yang cepat belajar dan bertindak.
12. Terlalu berkerja keras.
13. Beranggapan masalah dan cabaran yang dilaluinya adalah unik (sebab itu usahanya gagal).
14. Cepat melihat kegagalan sebagai isyarat untuk berpatah balik, berbanding belajar dan kembangkan apa yang dipelajari daripada kegagalan itu.
15. Membenarkan semua kritikan masuk dalam fikiran dan hati, lalu memusnahkan segala keyakinan dirinya.
16. Waswas jika pulangannya tidak setimpal dengan usaha. Takut usaha tidak berbaloi.
17. Rasa bersalah dan kasihan kepada diri sendiri.
Anda dapat sesuatu daripada senarai di atas?
Jadi, tetap kuatkan hati dan semangat. Fokus dan rajin, terus berdoa kepada Tuhan. Sematkan dalam fikiran bahawa kita tidak bersendirian dalam keadaan yang sukar, kita semua pernah dan sedang berada dalam situasi yang sama.
Jangan putus asa. Masa kita akan tiba. Bertenang dan sabarlah, teruskan usaha selain yakin dan percaya bahawa tiada usaha yang sia-sia.