Setiap ibu bapa pastinya ingin menjadi yang terbaik buat anak. Tidak keterlaluan jika dikatakan, kita bukan sahaja mahu anak sayang serta hormat. Malah, kagum dengan kemampuan ibu bapa mendidik dan membimbing mereka menjadi insan berguna serta berakhlak tinggi.
Begitu pun, menjadi seorang bapa dan ibu bukan perkara mudah. Banyak cabaran serta dugaan harus ditempuhi. Selain tanggungjawab ke atas keperluan asas, keperibadian anak perlu dibentuk sebaiknya. ‘Melentur buluh biar dari rebungnya’. Ya, bagaimana personaliti ibu bapa membantu bentuk peribadi anak menjadi lebih penyayang dan bertanggungjawab?
Ya, kita semua tahu dan sedar, sebagai ibu bapa, kita adalah role model kepada anak. Kita bertanggungjawab mencorak masa depan mereka mulai di peringkat pra-kelahiran hingga usia remaja.
Setiap zaman, ada cabaran tersendiri dalam mendidik membimbing anak. Jadi kita perlu ada ilmu dan kemahiran untuk mengimbangi tanggungjawab kepada keluarga juga kerjaya. Ini penting supaya kita mampu berhadapan cabaran dalam memenuhi tuntutan kedua-duanya.
Pada masa sama, ibu bapa harus proaktif serta sentiasa peka pada perkembangan dan perubahan. Kita pastinya tidak mahu anak terjerumus dalam masalah sosial yang boleh merosakan masa depan mereka.
Antara pendekatan boleh diambil ialah memupuk kasih sayang, jati diri, ketahanan diri dan pendidikan agama yang menyeluruh kepada anak.
7 Cara Berkesan Kawal Anak Nakal
Anak melihat dan menyerap perilaku ibu bapa
Personaliti ibu bapa bentuk peribadi anak? Ya, tanpa sedar dalam diam anak ‘mewarisi’ sikap kita. Sama ada kepada mereka atau pasangan.
Benar, semua ibu bapa ingin anak berjaya, bertanggungjawab dan mempunyai perasaan kasih sayang yang besar dalam jiwa. Pendek kata, mahu anak bahagia di dunia dan akhirat, tetapi cabarannya adalah bagaimana cara didikkan yang berkesan kepada anak.
Bagaimana pula personaliti ibu dan bapa dapat membantu membentuk peribadi anak menjadi lebih penyayang dan bertanggungjawab?
Zaman ini, hampir semua ibu dan bapa berkerja. Kesannya, ada segelintir mereka tidak ambil peduli perkembangan dan kebajikan anak. Jika pun ada yang mengambil tahu, tetapi tidak cukup masa atau tenaga untuk memantau tingkah laku juga perkembangan anak mereka.
Di sinilah pentingnya tugas seorang ketua keluarga. Sebagai suami dan bapa, bukan sahaja ada tanggungjawab besar dalam menyediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan bimbingan kepada isteri serta anak.
Seorang bapa juga adalah pemimpin, model ikutan serta contoh penting kepada pembentukan peribadi anak. Bapa perlu menjadi pembimbing setia yang berpegang teguh pada disiplin. Ini penting untuk mewujudkan hubungan mesra yang penuh kasih sayang dan saling menghormati dalam diri setiap anggota keluarga.
4 Tanda Hubungan Suami Isteri Bermasalah
Tanggungjawab dan matlamat
Ketua keluarga harus meletakkan matlamat dan visi yang perlu dicapai agar keluarga sentiasa berada dalam keadaan selamat, gembira dan bahagia.
Perlu menjadi pemimpin berwibawa untuk memimpin keluarga ke jalan yang benar, mendorong isteri serta anak agar lebih komited dalam menempuh hidup. Bijaksana, sabar, sentiasa cuba memenuhi keperluan keluarga, bertolak ansur, bertanggungjawab dan menjaga kebajikan keluarga.
Tanggungjawab bapa bukan sahaja kewajipan memberi nafkah, menjaga anak, memimpin, mendidik, menasihat, mendisiplin dan memberikan kasih sayang kepada anak. Lebih daripada itu, berusaha mendampingi anak untuk mewujudkan hubungan erat antara bapa dan anak.
Bapa harus meluangkan masa bersama anak. Misalnya beriadah bersama, menjauhkan keluarga dari persekitaran tidak sihat, menjadi teman dan mengawal anak menggunakan kaedah disiplin.
Kukuhkan hubungan ibu bapa dan anak secara profesional, komunikasi yang berkesan dengan pendekatan psikologi.
Mulakan secara berdiplomasi, suruh anak buat dan beri tempoh masa. Terangkan mengapa. Jika masih tiada hasil, duduk di sebelah dan pujuk mereka.
Jika tetap tiada perubahan, tukar perwatakan anda pada mood ‘garang’, tetapi penuh kasih sayang. Paksa anak ikut cakap anda, tetapi jangan berkasar. Bertegas dan jangan putus asa. Jika mereka boleh melakukannya walaupun sedikit, beri pujian dan galakan.
Cabaran 30 Hari Eratkan Hubungan Suami Isteri
Aura personaliti positif
Apabila sudah menjadi ibu dan bapa, kita tidak boleh bersikap mementingkan diri sendiri. Sebaliknya perlu bertolak ansur dan sedia membantu pasangan dalam apa-apa juga perkara (atau situasi) terutama membabitkan keperluan anak.
Seorang suami (dan isteri) yang baik, bertanggungjawab dan amanah kepada rumah tangganya harus memahami kekuatan dan kelemahan pasangan, ikhlas ketika membantu juga bersikap empati.
Bukan sahaja sentiasa berusaha dan bersedia memberi semangat, malah membantu dari segi fizikal juga material.
Bagi menghargai teman hidup anda, haruslah saling menghormati dan menghargai. Peluk dan cium, ucapkan terima kasih, beri perhatian ketika pasangan bercakap atau meluahkan sesuatu. Pada masa sama, bekerjasama menguruskan rumah tangga dengan semangat sepasukan, mementingkan pendapat pasangan serta berlaku adil.
Selain berusaha mencari masa sesuai untuk berdua-dua tanpa gangguan anak. Ini penting untuk meningkatkan semula hubungan di samping melapangkan minda dan menikmati ‘ruang peribadi’ bersama pasangan.
Personaliti ibu bapa yang positif memberi kesan kagum dan yakin dalam diri anak. Ini sekali gus membantu membina jati diri anak dengan lebih baik. Menjadi seorang individu yang lebih penyayang dan bertanggungjawab.
Dapat sesuatu daripada tulisan ini? Semoga anda serta keluarga berjaya membina sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni.