Pernah rasa seperti langit pun kelihatan lebih kelabu daripada biasa, dan semua benda yang kita buat terasa salah? Rasa sedih dan bersalah adalah dua perasaan yang mungkin paling susah untuk diterima, apatah lagi diatasi. Tetapi, ada sesuatu yang paling penting yang perlu kita tahu: tak mengapa untuk rasa begitu.
“Menangis. Memaafkan. Belajar. Teruskan. Biarkan air mata menyiram benih kebahagiaan masa depan kita.”
Baca seterusnya: Berhentilah Overthinking: Semuanya Akan Baik-Baik Saja
Mengapa Rasa Sedih Dan Bersalah Itu Normal?
Pertama sekali, mari kita hadapi realiti – manusia memang tidak lari daripada perasaan. Kita semua ada saat di mana kita rasa seperti tidak cukup baik. Rasa seperti kita telah melakukan sesuatu yang salah, atau sekadar rasa sedih tanpa sebab yang jelas. Perasaan ini adalah sebahagian daripada pengalaman manusia yang kompleks. Menafikan perasaan-perasaan ini hanya akan buat kita lebih kuat dan sukar untuk dihadapi.
Mari terokai bersama, bagaimana kita boleh menerima dan mengatasi perasaan ini dengan cara yang lebih sihat dan berkesan.
Terima Perasaan Kita
Langkah pertama untuk mengatasi rasa sedih dan bersalah adalah dengan menerimanya. Ya, kedengarannya mudah, tetapi ia sebenarnya adalah langkah paling sukar. Terima bahawa perasaan ini wujud dan ia adalah sah. Kalau kita rasa mahu menangis, menangislah.
Kalau kita rasa perlu bersendirian, ambillah masa untuk diri sendiri. Memberi ruang kepada perasaan ini untuk muncul sebenarnya membantu kita untuk memahami daripada mana ia datang dan kenapa rasa itu wujud.
Baca seterusnya: Pempengaruh Media Sosial Berkaliber
Kenal Pasti Puncanya
Kadang-kadang, rasa sedih dan bersalah datang tanpa sebab yang jelas. Tetapi, ada kalanya berpunca daripada sesuatu yang spesifik. Mungkin kita rasa bersalah sebab tersalah cakap dengan kawan baik, atau mungkin kita sedih kerana sesuatu yang tidk berjaya dalam hidup kita. Kenal pasti punca ini boleh membantu kita untuk mengambil langkah seterusnya.
Usah Hukum Diri Sendiri
Satu perkara yang kita sering buat tanpa sedar adalah menghukum diri sendiri. Kita rasa, kita tidak layak untuk berasa bahagia atau kita patut menderita kerana kesalahan yang telah kita lakukan. Tetapi, perlu ingat bahawa setiap kita akan (atau pernah) melakukan kesilapan dan semua orang ada saat-saat lemahnya.
Menghukum diri sendiri tidak akan memperbaiki keadaan. Sebaliknya, cubalah memaafkan diri sendiri dan fahami bahawa setiap kesilapan adalah peluang untuk belajar dan berkembang.
Baca seterusnya: Ini 5 Mentera Positif Setiap Hari
Cari Sokongan
Usah sesekali berasa kita perlu hadapi semua ini sendirian. Berkongsi perasaan dengan orang yang dipercayai sangat membantu. Sama ada keluarga, kawan, atau kaunselor. Mereka ini ada untuk mendengar dan memberikan sokongan.
Kadang-kadang, hanya bercakap atau berbual tentang apa yang kita rasa boleh meringankan beban yang ditanggung.
Fokus Pada Diri Sendiri
Ambil masa untuk diri sendiri. Lakuklan sesuatu yang kita suka atau yang boleh membaut diri berasa tenang. Misalnya, membaca, mendengar muzik, atau berjalan-jalan di taman.
Apa-apa saja yang boleh membantu kita berasa lebih baik, lakukanlah. Mengambil masa untuk diri sendiri bukanlah tanda kelemahan, tetapi satu cara untuk menjaga kesihatan mental dan emosi diri sendiri.
Baca seterusnya: Guna Toner Kunci Kulit Muka Sihat Berseri
“Kamu mungkin tidak dapat mengawal semua peristiwa yang berlaku kepada kamu, tetapi kamu boleh memutuskan untuk tidak dikalahkan olehnya.”
Baca seterusnya: Rendang Ayam Senang, Sedap & Cepat
Ini Sebahagian Daripada Proses Kehidupan
Rasa sedih dan bersalah adalah sebahagian daripada kehidupan. Menghadapinya dengan berani, menerima perasaan tersebut, dan mengambil langkah-langkah positif untuk mengatasinya adalah penting.
Ingatlah, kita tidak pernah bersendirian dalam perjuangan ini. Tidak mengapa untuk rasa sedih dan bersalah – ia menjadikan kita manusia (normal). Apa yang penting adalah bagaimana kita bangkit dan terus melangkah ke hadapan.
Jadi, apabila berasa dunia sedang menekan kita ke bawah, ingatlah bahawa kita kuat dan mampu menghadapinya. Teruskan melangkah, kerana setiap langkah kecil itu membawa kita lebih dekat kepada hari yang lebih cerah.