Didikan yang betul sangat penting dalam kehidupan berkeluarga. Cara mendidik anak haruslah bersifat mendukung perkembangan anak (sokongan). Ini mesti dilakukan secara positif dan menghindari kekerasan serta hukuman (konstruktif), selain dilakukan melalui aktiviti yang membuat anak selesa (tanpa tekanan).
“Saya cemburu tengok keluarga Razif dan Mona. Anak mereka semuanya berjaya, beradab dan hormat keluarga. Hubungan mereka juga nampak kuat dan akrab. Saya pun nak anak seperti mereka, tetapi saya tak tahu macam mana mahu mulakan,” kata Laila, 31, ibu kepada tiga orang cahaya mata.
Ya, setiap ibu bapa pasti mahu anak mereka membesar dengan sempurna dan cerdas. Siapalah yang tidak kepingin punya anak yang beradab, hormat ibu bapa dan penyayang?
Pun begitu, bagi merealisasikan harapan itu, sebagai ibu bapa, kita harus melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan juga kepimpinan supaya dapat memberikan sokongan dan bantuan positif kepada anak.
Semua ini dirangkumkan dalam lima prinsip didikan dan sangat bermanfaat untuk bekalan masa depan anak kita kelak.
5 Rahsia Didik Anak Beradab, Hormat Ibu Bapa Dan Penyayang
1. Persekitaran selesa dan mendukung
Jangan pandang remeh, ya. Persekitaran hidup anak (juga keluarga) sangat penting dalam kehidupan mereka. Jadi, wujudkan persekitaran selesa dan mendukung untuk membantu anak mengeksplorasi dunianya.
Cara ini memberi kita (ibu bapa) ruang mengawasi anak tanpa perlu waswas, sekali gus lebih yakin untuk memberi peluang dan kepercayaan kepada anak mencuba perkara baru.
2. Perhatian dan sokongan positif
Antara rahsia penting dalam mendidik anak, sebagai ibu bapa perlu sentiasa berusaha membina hubungan yang sihat dan intim dengan anak. Sediakan waktu untuk melakukan aktiviti bersama dan berkomunikasi. Ini penting supaya anak selalu berasa dihargai dan disayangi.
3. Tanam nilai positif berterusan
Kata pepatah Melayu, bapa borek anak rintik. Jadi, kita harus memberi contoh dan teladan yang baik kepada anak. Selain memberi penjelasan kepada anak mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan.
Beri penerangan dengan baik dan mudah difahami. Tegas tidak bermaksud perlu bersikap garang.
4. Pemahaman sesuai usia
Penting bagi ibu bapa mengetahui kelebihan dan kekurangan setiap anaknya. Selain itu, beri pujian yang sesuai dan tepat apabila anak berjaya melakukan sesuatu. Tetap berikan sokongan ketika dia mengalami kegagalan atau rasa waswas.
5. Komunikasi positif
Mengatasi tekanan adalah langkah awal untuk membina komunikasi positif bersama anak. Ibu bapa harus belajar mengendalikan diri untuk mengatasi emosi negatif dan mencari penyelesaian terbaik tanpa kesan tekanan kepada anak.
Ini termasuk ketika menghadapi masalah, membina komunikasi terbuka bersama pasangan atau individu yang terbabit dalam mendidik anak.
Cara ini sekali gus mengenali kelebihan dan kekurangan diri serta mengembangkan sikap mahu belajar dan berubah lebih baik.
Semoga 5 rahsia didik anak bersikap sopan, hormat keluarga dan penyayang ini dapat membantu anda mengasuh anak dengan lebih baik serta berkeyakinan.
Selamat mencuba.