Gaya Hidup

PELANCARAN KAJIAN KOHOT DIABETES KKM – IMU

Kajian kohot berskala besar mengenai diabetes dinamakan sebagai “SeDia Cohort Study” yang pertama seumpamanya di Malaysia. 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan International Medical University (IMU), Kuala Lumpur baru-baru ini melancarkan kajian kohot berskala besar mengenai diabetes yang pertama seumpamanya di Malaysia. 

Majlis pelancaran Kajian Kohot Diabetes KKM-IMU ini dilancarkan secara rasmi oleh Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Acara yang diadakan di Seremban (Seremban Diabetes (SEDIA) Cohort Study) ini turut dihadiri Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa dan Prof. Dr. Abdul Aziz Baba, Naib Canselor serta Ketua Pengawai Eksekutif IMU.

Memorandum persefahaman antara KKM dan IMU bagi penubuhan Kajian Kohot Diabetes telah ditandatangani pada 17 Mei 2022.

Manakala protokol kajian telah mendapat kelulusan Jawatankuasa Etika Penyelidikan Perubatan (MREC) KKM pada 17 Mac 2023.

Cara Mudah, Cepat & Murah Hilangkan Perut Buncit

Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa

Kaji secara komprehensif

Ini bertujuan untuk mengkaji secara komprehensif kesemua faktor terlibat dalam kejadian penyakit diabetes serta komplikasi yang dialami pesakit. Dianggarkan 3.9 juta rakyat Malaysia dewasa menghidapnya. 

Kadar penyakit diabetes di Malaysia adalah yang tertinggi di rantau Asia Pasifik dan antara yang tertinggi di dunia.

Kadar prevalens diabetes menunjukkan arah aliran peningkatan yang ketara daripada 11.2% dalam tahun 2011 kepada 18.3% dalam Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019.

Menjelang tahun 2025, diunjurkan seramai 7 juta rakyat dewasa Malaysia menghidapi diabetes yang akan membebankan sistem kesihatan negara.

Kos merawat pesakit diabetes sahaja tidak termasuk kos merawat komplikasi diabetes dianggarkan sekitar RM3 bilion setahun.

Kajian 12 tahun ini merupakan langkah pertama yang penting bagi mengumpul data yang relevan dengan sosio-budaya masyarakat tempatan.

Ini membabitkan penyertaan lebih 5,000 pesakit diabetes yang berdaftar dengan Daftar Diabetes Klinik Kesihatan Seremban.

Manakala, lebih 7,000 ahli keluarga mereka bagi mengkaji interaksi kompleks pelbagai faktor yang mempengaruhi kejadian diabetes dan komplikasinya.

Tempoh masa yang lama diperlukan kerana kejadian diabetes dan komplikasinya juga mengambil masa yang lama.

Jom Cuba 9 Idea Rumah Sempit Nampak Luas Dan Mewah

Faktor genetik dan gaya hidup

Kajian SeDia Cohort akan mengkaji secara komprehensif semua faktor-faktor berkaitan, daripada faktor genetik dan sejarah diabetes dalam keluarga kepada faktor gaya hidup dan persekitaran, pemakanan, aktiviti fizikal, sosio-ekonomi, dan penyampaian kesihatan.

Dengan memahami interaksi kompleks pelbagai faktor ini, diharap akan menemukan kaedah terbaik mencegah dan memulihkan pesakit diabetes.

Daripada situ dapat membangunkan dasar dan program kesihatan bagi menangani beban penyakit ini yang berasaskan bukti saintifik dan relevan dengan masyarakat tempatan.

Ini bagi menjamin keberkesanan program perawatan dan pencegahan yang dibangunkan untuk mengekang arah aliran peningkatan beban diabetes di Malaysia.

Bersempena dengan pelancaran rasmi SeDia Cohort, satu simposium sehari bertajuk “Precision Medicine in Diabetes” turut diadakan. Antara pembentang kertas simposium termasuklah Prof. Datuk Dr. Lokman Hakim bin Sulaiman, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan IMU dan Ketua Penyelidik SeDia Cohort.

Selain disertai empat orang Ahli Jawatankuasa Penasihat Saintifik SeDia Cohort iaitu Prof. Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed, Pakar Perunding Endokronologi dan Ahli Lembaga Pengelola IMU, Prof.  Datuk Dr. Abdul Rahman Abdul Jamal, Felo Kanan Institut Penyelidikan Biologi Molekul (UMBI), UKM, Datuk Dr. Zanariah Hussein, Pakar Perunding Endokrinologi KKM dan Prof. Dr. Edward Gregg, Imperial College London.

Prof. Dr. Abdul Aziz Baba

Penyertaan sukarela.

Negeri Sembilan mencatat kadar prevalens diabetes di kalangan orang dewasa (lebih 18 tahun) tertinggi di Malaysia dengan kadar 33.2%.

Sehubungan itu, Klinik Kesihatan Seremban Jalan Rasah dipilih sebagai Pusat Pengambilan (Recruitment Centre) peserta kajian manakala Institut Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (IRDI), IMU bertindak sebagai Pusat Koordinasi kajian dan fasiliti penyimpanan spesimen biologi kajian.

Pesakit diabetes yang berdaftar dengan Daftar Diabetes Klinik Kesihatan Seremban akan dijemput menyertai kajian bersama ahli keluarga mereka yang dewasa. Penyertaan mereka adalah secara sukarela.

Dengan menggunakan sistem dan pengkalan data digital, maklumat peribadi dan perubatan melalui soal selidik yang komprehensif akan dimasukkan.

Ini termasuk data sosio-demografik, antropometrik, sejarah perubatan, pemakanan, aktiviti fisikal, ujian makmal seperti profil hematologi, profil gula dalam darah, ujian fungsi ginjal, dan fungsi hati, maklumat sosio-ekonomi serta kesihatan psikososial.

Sampel darah juga akan diambil untuk penjujukan genetik bagi mengkaji kecenderungan individu mengidap diabetes dan bagi pesakitnya, kecenderungan mengalami komplikasi dan tindak balas terhadap ubat-ubatan dan intervensi fizikal dan pemakanan.

Insiden diabetes dan komplikasi baru

Lebih 10,000 peserta kajian ini akan diambil dalam tempoh 3 tahun mulai Julai 2023.

Selepas itu, setiap peserta akan dituruti dan proses pengumpulan maklumat kajian akan diulangi setiap 3 tahun sekali sehingga satu tempoh sehingga 12 tahun bagi menentukan insiden diabetes dan komplikasi baru.

Di samping itu, maklumat kejadian kehidupan (life event) seperti kemasukan ke hospital dan kematian akan dikumpul bagi setiap peserta dan dikemaskini setiap tahun. 

Selaras dengan hasrat menjadikan SeDia Cohort sebagai kajian berkepentingan kebangsaan, SeDia Cohort akan diberi akses kepada para penyelidik tempatan dan antarabangsa untuk dilakukan analisa dan kajian tambahan tertakluk kepada kelulusan MREC.

Ini penting bagi memastikan sumber penyelidikan dan pembangunan tempatan dan antarabangsa dapat digembleng secara maksium bagi memahami penyakit yang kompleks ini.

Selain itu, dapat membangun strategi intervensi yang spesifik untuk individu dan masyarakat serta bagi mencorak bagaimana penyakit ini diurus di peringkat nasional di masa akan datang.

Diabetes atau kencing manis merupakan satu penyakit yang berakar-umbi dalam tingkah laku, budaya dan gaya hidup rakyat Malaysia. Kebanyakan kajian-kajiannya bersifat jangka pendek dan mengkaji faktor-faktor berkepentingan secara terasing.

7 Kata-kata Emas Dan Motivasi Jack Ma Kepada Anak Muda

Tambah baik garis panduan pengurusan diabetes

Kebanyakan kajian kohot diabetes yang besar seperti ini dilakukan dalam masyarakat yang berbeza daripada masyarakat Malaysia dan hasil penemuan mungkin tidak relevan dengan masyarakat tempatan.

Justeru, kajian SeDia Cohort ini akan memberi peluang kepada penyelidik memahami secara lebih mendalam peranan genetik dan persekitaran dalam kalangan masyarakat tempatan.

Dengan ini, ia boleh menambah baik lagi garis panduan pengurusan diabetes dan dasar kesihatan awam ke arah hasil kesihatan yang lebih baik.

Kajian SeDia Cohort ini membabitkan peserta yang besar dan untuk satu tempoh masa yang lama, justeru memerlukan biaya yang besar. Ia akan dibiayai melalui dana awam melalui sumbangan korporat dan individu.

Oleh kerana penyakit ini melibatkan semua pihak dan merupakan masalah nasional, semua pihak khususnya pihak korporat, yayasan dan dermawan dijemput bersama-sama bergabung tenaga bagi mencari penyelesaian kepada permasalahan ini.  

Sehubungan dengan itu, IHH Healthcare Malaysia (IHH MY) telah tampil menjadi Penaja Platinum pertama menyokong kajian SeDia Cohort dengan sumbangam berjumlah RM2 juta.

IHH MY sebahagian daripada IHH Healthcare Berhad yang mempunyai sejumlah 83 hospital di 10 buah negara termasuk Malaysia, Singapura, Türkiye dan India – komited untuk menjadikan perkhidmatan kesihatan lebih baik, cepat, mudah, dan mampu dicapai pesakit.

Ini 5 Manfaat Berkebun Di Rumah Yang Menguntungkan

Related posts
Gaya Hidup

Bukan Dendam, Tetapi Kesan Trauma Masa Lalu

Setiap orang mempunyai sejarah silam yang berbeza – unik. Sama ada penuh kebahagiaan mahupun…
Read more
Gaya Hidup

Sikap Ibu Bapa Bentuk Peribadi Dan Masa Depan Anak

Setiap ibu bapa pastinya ingin menjadi yang terbaik buat anak. Tidak keterlaluan jika dikatakan…
Read more
Gaya HidupInspirasi

Pempengaruh Media Sosial Berkaliber

Di era digital serba canggih ini, media sosial bukan sahaja menjadi platform utama untuk…
Read more

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *