Fakta Asas HFMD (Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut)
Sejumlah 9,822 kes HFMD direkodkan pada tahun 2023, Ketua Jabatan Pediatrik Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Dr Erwin Khoo tampil memberi panduan kepada ibu bapa.
Ini mengenai apa yang perlu dilakukan apabila anak mereka dijangkiti HFMD dan bagaimana memastikan sekeluarga dalam keadaan selamat
Setiap ibu bapa pastinya arif dengan tabiat anak kecil yang suka memasukkan hampir setiap benda ke dalam mulut, sehingga merisikokan anak itu kepada penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
Penyakit yang sangat mudah berjangkit ini sedang menular di seluruh negara, di mana terdapat 170 kluster yang menyebabkan ramai kanak-kanak sakit sehingga ibu bapa bergelut untuk menjaga anak yang dijangkiti.
Dalam masa sama, mereka perlu menangani urusan kerja dan rumah tangga, selain terpaksa berhadapan dengan taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak yang perlu ditutup operasi bagi mengelakkan penularan virus menjadi lebih serius.
Biarpun penyakit ini sering berlaku, namun orang ramai masih lagi tidak begitu jelas mengenainya dan apa yang perlu mereka lakukan.
Bagi memberi kesedaran dan pemahaman kepada orang ramai mengenai HFMD, Dr Erwin membentangkan tiga (3) fakta penting mengenainya dan turut berkongsi beberapa petua berguna untuk ibu bapa.
12 Cara Kulit Muka Kusam Kembali Cerah Berseri
HFMD sangat mudah menular dan virusnya boleh kekal dieram sehingga 14 hari
Gejala-gejala biasa HFMD termasuklah demam, luka di dalam mulut dan ruam. HFMD dan cacar air adalah contoh viral exanthem (ruam atau radang pada kulit yang disebabkan jangkitan virus).
Tidak seperti cacar air, ruam selalunya tidak timbul pada badan tetapi pada tangan dan kaki, dan ada masanya pada lutut, siku dan punggung.
“Penyebab HFMD adalah virus dan biasanya ia adalah virus Coxsackie A16 dan Enterovirus 71,” kata Dr Erwin.
“Virus-virus ini boleh ditemui dalam saluran pernafasan dan najis, serta di dalam lepuh berair yang terbentuk pada tangan dan kaki. Virus tersebut kekal mudah berjangkit pada permukaan keras untuk beberapa hari.
“Tempoh eraman biasanya di antara 3 ke 7 hari dan boleh sehingga dua (2) minggu. Ini menjadikan HFMD mudah merebak di kalangan kontak rapat dan di dalam keadaan di mana barang mainan serta perkakas dikongsi.
“Atau apabila kebersihan tangan tidak diamalkan dengan baik terutamanya ketika melakukan rutin menukar lampin kotor selepas kanak-kanak membuang air besar.”
Ketika kebanyakan daripada kita menganggap HFMD sebagai penyakit zaman kanak-kanak, – kebanyakan kes jangkitan melibatkan kanak-kanak di bawah usia 6 tahun – hakikatnya, ia juga boleh menjangkiti orang dewasa.
Segelintir berpendapat, orang dewasa mendapat gejala yang lebih serius, tetapi kajian mendapati orang dewasa hanya mengalami gejala lebih ringan. Orang dewasa yang dijangkiti boleh menularkan virus kepada orang lain.
Sebagai contoh, mereka yang bekerja di pusat jagaan kanak-kanak yang ada kes HFMD, boleh membawa virus ke rumah di mana akhirnya menjangkiti pasangan, anak-anak dan ibu bapa yang sudah tua.
Adalah tidak mustahil untuk mendapat HFMD lebih daripada sekali kerana strain yang berbeza, selain keimunan kepada enterovirus adalah bersifat sementara.
Bukan Dendam, Tetapi Kesan Trauma Masa Lalu
Apa yang ibu bapa boleh lakukan:
Mempunyai pesakit HFMD di rumah bermakna ibu bapa perlu lebih berhati-hati dan berwaspada tentang kepentingan menghadkan hubungan individu yang dijangkiti dan mengamalkan kebersihan tangan yang baik.
Ia adalah sama seperti langkah pencegahan yang diamalkan ketika pandemik. Ibu bapa dan penjaga perlu membasuh tangan atau membasmi kuman dengan kerap, terutama selepas merawat anak yang menghidap HFMD.
Kawasan umum di dalam rumah perlu sentiasa dilap dengan pembasmi kuman, elakkan berkongsi makanan serta perkasas dan tidak menyentuh mata atau hidung. Langkah-langkah ini perlu diteruskan hingga 10 hari.
Kanak-kanak yang disahkan mendapat HFMD perlu diam di rumah untuk mencegah penyebaran jangkitan kepada orang lain.
Namun begitu, langkah ekstrem seperti mengasingkan kanak-kanak itu bersendirian di bilik adalah agak melampau dan tidak wajib.
Ini kerana, virus penyebab HFMD tidak merebak melalui udara seperti jangkitan saluran pernafasan lain.
Sayang sekali, tiada cara untuk mencegah HFMD. Walaupun terdapat virus berbeza yang menyebabkan HFMD, tetapi tiada rawatan khusus atau ubat untuk mengurangkan gejala. Yang ada hanyalah kaedah melegakan simptom, kata Dr Erwin.
PELANCARAN KAJIAN KOHOT DIABETES KKM – IMU
Tiada ubat atau rawatan khusus untuk HFMD
Dr Erwin juga memberi amaran mengenai beberapa remedi yang biasa dikongsikan.
Ini seperti mandi menggunakan larutan garam kasar atau berendam di dalam air berenzim, kerana ia boleh merengsakan kulit.
Selain daripada itu, tiada bukti mengatakan cara-cara itu berkesan untuk mempercepatkan proses penyembuhan yang lazimnya mengambil masa di antara 7 ke 10 hari.
Apa yang ibu bapa boleh lakukan:
- Rawat demam dengan memberi paracetamol atau ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs), yang turut membantu mengurangkan kesakitan dan radang pada ulser mulut. Namun begitu, ibu bapa perlu mendapatkan nasihat doktor pakar kanak-kanak sebelum memberi NSAIDs kepada anak mereka.
- Beri anak makan makanan yang sedang ditelan seperti sup dan bubur nasi sebagai ganti makanan pejal yang memerlukan mereka mengunyah.
- Cegah penyahhidratan dengan memberi anak minuman atau jus kesukaan mereka.
- Legakan ulser mulut dengan kudapan sejuk seperti aiskrim, yogurt dan agar-agar. Bilasan mulut tanpa alkohol dan gel mulut pun boleh membantu.
- Mandi dengan kerap untuk melegakan kudis dan keringkan dengan lembut menggunakan tuala untuk mengelakkan lepuh daripada pecah (jika ada). Elakkan sabun mandi dan penyental kasar yang boleh merengsakan lagi kulit.
- Elak memasang penyaman udara pada waktu malam (jika boleh). Ulser mulut boleh menjadi lebih sakit disebabkan kurangnya pengeluaran air liur kerana persekitaran yang lebih kering. Jika cuaca panas, adalah lebih membantu jika menggunakan alat pelembap (humidifier) atau letak mangkuk berisi air untuk memastikan udara sentiasa lembap. Sekiranya rasa sakit menghalang pesakit berehat, dapatkan nasihat pakar kanak-kanak mengenai penggunaan ubat penahan sakit walaupun tidak demam.
HFMD boleh menjurus kepada komplikasi serius
Dalam kebanyakan kes, pemulihan di rumah dengan rawatan atas kaunter adalah memadai untuk melegakan gejala seperti demam, ruam atau bintik-bintik merah pada tapak tangan atau kaki, dan ulser mulut.
“Biarpun bintik-bintik tersebut tidak gatal, ulser di dalam mulut boleh menyakitkan dan menghalang kanak-kanak daripada minum, makan dan menelan seperti biasa.
“Ini boleh membawa kepada penyahhidratan dan dalam kes-kes serius, memerlukan rawatan perubatan,” jelas Dr Erwin.
Kenapa Kita Mudah Judgmental?
Apa yang ibu bapa boleh lakukan:
- Jika anak kurang kencing, mulutnya kering dan kurangnya air mata apabila menangis, itu tanda-tanda anak mengalami penyahhidratan yang teruk dan memerlukan rawatan perubatan.
- Dapatkan rawatan perubatan segera jika berlaku gejala-gejala seperti pernafasan cepat, kebingungan, mengantuk, pening-pening, leher kaku, sawan, demam melebihi tiga (3) hari dan apabila anak tidak mahu makan atau minum.
- Biarpun bukan satu kebiasaan, HFMD boleh menyebabkan meningitis virus. Sebaiknya berjumpa doktor untuk mengelakkan komplikasi ini.
Walaupun situasi ini difahami sebagai sangat menggusarkan, namun sangat membantu sekiranya kita melihatnya pada sisi pandang yang berbeza.
“Jika kita dapat mengatur supaya dapat mengambil cuti dengan surat rujukan doktor kepada majikan, duduklah di rumah dan habiskan masa bersama anak. Ada masanya, kita tidak perasan betapa cepatnya anak kita membesar,” kata Dr Erwin