Dalam rancaknya dunia mengejar semua ke hadapan, pun masih ada segelintir yang bersikap dan bertindak ke belakang.
Masih ada segelintir lelaki bersikap lepas tangan dalam menjalankan kewajipan sebagai suami dan ketua keluarga.
Baca: Ini 9 Rahsia Bina Hubungan Suami Isteri Yang Serasi
Oh ya, sebelum diteruskan cerita ini, biarlah saya perkenalkan diri dahulu. Saya, Marziah*, 31, berasal dari Temerloh, Pahang dan dikurniai lima anak berusia sembilan hingga tiga tahun.
Saya anak sulung daripada enam beradik. Berkahwin dengan Razif (bukan nama sebenar) ketika usia agak muda iaitu 22 tahun.
Saya mengenalinya melalui seorang teman. Rutin hidup saya selepas berkahwin cukup sederhana, habis waktu kerja saya terus pulang ke rumah. Sibuk mengurus rumah tangga, suami dan anak.
Walaupun usia kami berbeza 10 tahun, tetapi sikapnya kurang matang selain sensitif dan berat tulang. Kalau mahu minta apa-apa bantuan daripadanya, memang susah dan menyakitkan hati.
Dia juga terlalu berkira soal duit. Nasib baiklah saya bekerja dan buat perniagaan secara atas talian (mengambil tempahan membuat kek, kuih-muih dan sambal segera), jadi insha-Allah, selalu ada duit di dalam tangan.
Ringan beban suami
Baca: Perlukah Simpan Sakit Hati Sampai Mati?
Kata orang, lepas kahwin murah rezeki. Alhamdulillah, sejak berkahwin rezeki saya melimpah-ruah. Setiap hari ada sahaja pelanggan yang membuat tempatan melalui Instagramdan Facebook.
Sebagai isteri, memanglah saya mahu meringankan beban suami. Bagi saya, tiada salahnya berkongsi rezeki, apatah lagi untuk keperluan keluarga.
Bak kata pepatah Melayu, berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing. Bukan mahu memuji diri sendiri, sepanjang hidup bersama, saya tidak pernah berkira dengan suami.
Sayangnya Razif tidak beranggap begitu, hari ke sehari dia semakin buat endah tidak endah sahaja mengenai keperluan rumah tangga. Lebih menyakitkan hati, dia suruh saya tanggung sebahagian besar keperluan rumah dengan alasan pendapatan saya lebih banyak berbanding dia.
Memang sakit hati mendengar kata-katanya itu, tetapi saya pendamkan sahaja. Malas hendak bertengkar dengan dia. Lagipun, dia tidak pernah mahu mengalah. Asyik mahu menang dan dengar kata dia sahaja.
Dek faham sangat dengan perangainya itu, saya tidak mahu mencetuskan keadaan tidak seronok dalam rumah tangga kami dan buat anak hidup dalam tekanan. Cara terbaik, biarlah saya mendiamkan diri.
Saya ikutkan sahaja rentaknya, jadi semua keperluan dapur saya beli sendiri, satu sen pun tidak minta daripadanya. Pada masa sama, saya masih menjalankan tanggungjawab sebagai anak sulung kepada keluarga saya. Setiap bulan, saya peruntukkan sejumlah wang untuk keperluan keluarga di kampung.
Baca: Ana Balqis Menulis: Teruja Jadi Penyelamat?
Dituduh derhaka
Tahun bersiling ganti, sikap Razif semakin menjadi-jadi. Dia bukan sahaja lepas tangan soal keperluan anak dan rumah tangga, malah menghalang saya daripada membantu keluarga sendiri (dan guna duit sendiri).
Sebenarnya, dia tidak tahu setiap bulan saya beri wang kepada ayah. Suatu hari, saya tidak cukup duit untuk bayar bil telefon dan penyelenggaraan rumah. Jadi, saya minta dia bayar.
Dia bising dan membebel, saya panas hati dan persoalkan tanggungjawabnya sebagai suami. Mungkin dia rasa bersalah, tetapi ego untuk mengakui kesilapan diri, dia persoalkan pula wang hasil perniagaan kecil-kecilan saya.
Apabila dapat tahu saya kirim duit kepada keluarga, dia berang. Katanya, saya tidak boleh beri duit kepada keluarga tanpa izinnya. Dia tuduh saya menderhaka kepadanya kerana buat semua itu tanpa kebenaran dia.
Aduh, suami jenis apakah itu?
Sudahlah tanggungjawab kepada keluarga diabaikan, kita pula dituduh isteri derhaka! Dia juga beri amaran, kalau saya masih beri duit kepada keluarga dia akan ceraikan saya.
Saya geram mendengar kata-katanya itu. Saya tidak menyangka begitu busuk hati Razif, padahal sepanjang hidup bersama saya tidak pernah menyusahkannya. Sebaliknya, saya yang menanggung hampir semua keperluan hidup kami.
Skandal janda anak dua
Baca: Apabila Tiada Lagi Keserasian Dalam Perkahwinan
Masuk tahun kelima hidup bersama sebagai pasangan suami isteri, saya semakin letih melayan kerenahnya yang tidak bertanggungjawab. Orang lain berkahwin, berkongsi tugas bersama tetapi saya, terpaksa menanggung semuanya sendirian.
Tuhan sahaja tahu betapa pilu hati ini setiap kali mengenang nasib diri. Apalah dosa saya hingga terpaksa mengharungi hidup begini?
Anak pula semakin bertambah, dua adik saya pula masih belajar di kolej dan perlu dibiaya setiap bulan. Tambah merisaukan apabila keadaan kesihatan ayah semakin merosot.
Jadi, sanggup atau tidak, saya perlu menanggung kos pengajian mereka hingga selesai. Nasib baik saya ada pendapatan sampingan, saya gunakan untuk menampung keperluan keluarga.
Suami? Minta RM10 pun mengungkit macam-macam. Kata-katanya sungguh menyakitkan hati. Daripada sakit hati, lebih baik diam sahaja.
Ada juga beberapa orang teman yang menegur tindakan saya itu. Kata mereka, tindakan saya itu ibarat membela biawak hidup.
Saya sedar, sebagai ketua keluarga, Razif tidak boleh bersikap lepas tangan dan menyerahkan semua tanggungjawabnya kepada saya.
Ibarat ditelan mati mak, diluah mati bapa, begitulah keadaan saya. Saya hanya mampu menghadapinya dengan pasrah, lagipun saya tidak suka dia mengungkit hal keluarga saya. Biarlah saya tanggung derita ini sendirian, asalkan keluarga dapat dibantu.
Saya tidak sanggup melihat ayah yang uzur terpaksa bekerja demi menyara anak.
Lagipun, memang silap saya kerana selalu beri muka kepada suami, sekarang dia semakin besar kepala dan lepas tangan.
Bertahun saya bersabar, malangnya Razif tidak berubah. Sebaliknya, semakin menguji kesabaran saya.
Dalam diam, dia berkahwin dengan seorang janda beranak dua. Dasar lelaki tak sedar dek untung! Tanggungjawab sedia ada tidak mahu pikul, berani pula tambah bini.
Hati ini bagai dihiris sembilu mengenangkan perbuatannya itu. Gejolak rasa yang berbaur dalam hati saya, hanya Dia sahaja Yang Maha Tahu. Tembok kesabaran saya bagaikan runtuh satu persatu. Saya rasa seperti kain buruk, tidak berharga sesen pun di matanya.
Baca: Suami Ada Perempuan Lain? Isteri Usah Cepat Mengalah
Bukan petaka
Hampir 10 tahun hidup makan hati berulam jantung, akhirnya saya sedar, saya tidak mampu bertahan lagi. Saya tidak sanggup diperlakukan seperti patung bernyawa, tenaga saya dikerah sewenang-wenangnya.
Saya sudah banyak bersabar dan mengalah sepanjang perkahwinan kami.
Ya, cukuplah setakat ini! Saya tidak mahu terus hidup dalam kepura-puraan. Daripada hidup merana bersamanya, lebih baik saya hidup bersama anak sahaja.
Lagipun, tiada bezanya bersuami atau tidak. Buat apa ada suami, kalau semua benda saya tanggung sendiri.
Syukur Alhamdulillah, Tuhan permudahkan urusan saya menuntut keadilan. Kini hidup saya lebih bahagia dan tenang.
Selepas bercerai, saya mampu membuktikan kepada diri sendiri dan masyarakat bahawa penceraian bukan petaka dalam hidup. Walaupun hilang kasih sayang daripada lelaki bernama suami, masih ramai yang menyayangi serta mengambil berat hal saya dan anak.
Saya juga sangat bersyukur, ujian besar ini membuat saya mengenal hidup dalam erti kata sebenar. Percayalah, sesungguhnya Tuhan tidak akan berlaku zalim kepada hamba-Nya.
Setiap yang diuji itu sesuai dengan tahap kemampuan hamba-Nya. Sebagai hamba, kita hendaklah berusaha untuk mengatasinya. Alhamdulillah, saya mampu menghadapi dugaan ini dan tidak sekali-kali berputus asa menghadapi ujian-Nya.
- Nama dan lokasi kejadian dalam kisah ini telah disamarkan demi kebaikan bersama. Jika ada persamaan, ia kebetulan sahaja.