Gaya Hidup

Bertemu Kekasih Lama, Rumah Tangga Bahagia Musnah

Hidup ini penuh kejutan. Sama halnya dalam melayari alam perkahwinan. Walau sudah berusaha melakukan yang terbaik demi meraih hidup bahagia bersama, namun, dugaan dan ujian datang tak terdugakan.

“Awak tentunya pernah dengar kata-kata ni, ‘Tak bau syurga seorang isteri yang berlaku curang di belakang suaminya.’ Saya, ni, jangan kata bau syurga, rasa bahagia di dunia pun tak layak saya nikmati. Semuanya berpunca daripada silap diri sendiri, terlalu ikutkan kata hati,” kata Reen, membuka cerita dirinya* (33).

Wanita berkulit sawo matang itu memulakan bicara dalam pertemuan kami di sebuah kafe hipster di tengah ibukota. Air muka Ika kelihatan tenang saja, tetapi sepasang matanya yang redup itu bagai menyembunyi gejolak di hati. Selepas beberapa minit menenangkan emosinya, ibu kepada tiga orang anak ini kembali menyambung cerita yang tergantung tadi.

“Semuanya bermula tiga tahun lepas, waktu saya bertemu semula dengan bekas kekasi dalam satu pertemuan bersama kawan-kawan kolej. Pertemuan biasa saja, bukan majlis reunion. Kebetulan saja, seorang teman jemput minum petang di rumahnya dan beberapa kawan sekolej juga datang ketika itu termasuk dia.

“Kita sebut saja namanya, Faris. Dulu, waktu zaman belajar, kami ni sepasang kekasih yang sangat bahagia dan dicemburi ramai. Kami berjanji untuk hidup bersama lepas tamat pengajian. Sayangnya, tiada jodoh. Dia berkahwin dengan wanita lain, saya pula terima calon suami pilihan keluarga.

Baca: Berhenti Bertengkar. Ini 3 Cara Cari Titik Keserasian

“Sepanjang empat tahun hidup bersama suami, pada zahirnya memang kami nampak bahagia. Sayangnya, perasaan saya kepada suami, kosong. Saya rasa, apa yang saya lakukan sepanjang perkahwinan kami hanya sekadar melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

“Saya tak nafikan, suami baik orangnya. Walaupun dia sibuk bekerja, tetapi dia ketua keluarga yang bertanggungjawab dan tak banyak kerenah. Cukup senang menjaga keperluannya, keluarga mentua juga menerima dan melayan saya dengan baik.

“Pendek kata, tiada yang kurang dalam rumah tangga kami. Cuma, seperti yang saya katakan tadi, perasaan saya kosong. Tiada cinta dan sayang seperti sepatutnya.”

Reen kembali diam, menyedut air minumannya dan berkali-kali cuba melarikan pandangan dari renungan penulis. Seolah-olah tidak mahu penulis menyelongkar ke dalam benak rasanya. Beberapa ketika, dia mengeluh. Lemah.

Baca: 8 Rahsia Goda Ghairah Pasangan

Curang: Bertemu Kekasih Lama, Istana Bahagia Musnah

Hati kembali bersinar

“Kehadiran Faris bagaikan mengembalikan sinar dalam hati saya. Dia buat saya rasa kembali hidup dan ceria. Pertemuan semula itu solah-olah memberi saya harapan baru.

“Harapan untuk kembali mengecapi kebahagiaan yang kami tinggalkan dulu. Saya berasa seperti baru dipanah cinta pertama, kehadirannya turut mengubah rutin hidup saya sebagai suri rumah sepenuh masa.

“Paling ketara, saya tidak lagi berasa kosong dan ‘mati’. Saya tahu, saya sedar, perbuatan saya melayan perasaan itu salah dan berdosa, tetapi saya tak mampu membohongi hati sendiri. Saya masih cintai dan menyayanginya seperti dulu. Saya juga selalu berangan-angan dapat kembali kepadanya.

“Ya, saya akhirnya curang pada suami. Tetapi, walaupun kembali bercinta dengan Faris,, saya tak pernah lupa tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Saya uruskan keperluan keluarga seperti biasa. Cuma, perasaan saya untuk suami semakin dingin dan pudar, hanya tinggal rasa hormat dan kewajipan sebagai seorang isteri.

“Sepanjang berhubung semula dengan Faris, suami tidak tahu atau syak apa-apa. Saya jaga sebaik mungkin rahsia besar itu, bukan kerana takut tetapi saya tak mahu dia terluka.

“Dia terlalu baik dan saya sedar, saya tak sepatutnya berpelakuan begitu kepadanya.”

Terluka

‘Hingga suatu malam, tepatnya selepas dua tahun ‘kembali’ ke pangkuan cinta Faris, tiba-tiba, rahsia besar yang saya cuba sembunyikan itu terbongkar.

“Ya, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh juga ke tanah. Bangkai gajah, mana mungkin dapat ditutup selama-lamanya.

“Puncanya, saya lupa padam mesej Faris dalam Whatsapp. Ayat-ayat “I miss you“, “I need you“, “I always love you” kirimnya itu memang mengundang perang besar dengan suami.

“Malam itu, saya didesak sejauh mana hubungan dengan Faris. Sudah sampai ke tahap mana, sekadar perasaan atau sampai ‘naik ke katil’.

“Saya terkejut, saya tak sangka suami akan berfikir sejauh itu, tetapi saya tidak salahkan dia sepenuhnya. Cuma saya kesal, dia sanggup fikir sampai ke tahap itu.

“Ya, betul, saya curang, tetapi saya tidaklah sampai ke tahap berzina. Perasaan saya pada Faris sangat suci, saya cintakan dia dan tidak akan menodai cinta kami dengan perbuatan haram itu. Malangnya, suami tidak percaya. Berkali-kali dia minta saya bersumpah.

“Sejak rahsia itu terbongkar hubungan dengan suami sangat teruk, daripada seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab, dia berubah menjadi kasar dan panas baran. Beberapa kali dia mengasari saya, keadaan itu berlanjutan hampir enam bulan.”

Baca: 10 Tip Persediaan Awal Kehamilan Untuk Bakal Ibu

Curang: Bertemu Kekasih Lama, Istana Bahagia Musnah
Kredit foto: beliefnhttps://www.beliefnet.comet.com

Putus ikatan rasmi

“Hampir setahun cuba bertahan dan berusaha memperbaiki rumah tangga kami, tetapi tetap tak mampu mengembalikan kepercayaannya.

“Sebaliknya, hubungan kami semakin buruk dan menakutkan. Dia tuduh saya perempuan murahan dan tidak boleh dipercayai. Dia tuduh saya perempuan kotor dan tidak layak dijadikan isteri.

“Lebih teruk lagi, dia mempertikaikan status anak dalam kandungan saya.

“Saya cukup sedih dengan semua tuduhnya itu. Betul, saya curang kepadanya, tetapi  saya sudah bertaubat. Saya juga tidak lagi berhubungan dengan Faris. Walaupun pada awalnya dia enggan, tetapi demi rumah tangga saya, dia sanggup beralah.

“Sayangnya, suami tidak percaya. Setiap masa dia mengungkit kecurangan saya, tetapi peliknya tidak tidak mahu menceraikan saya.

“Saya rela diceraikan daripada emosi terus didera dengan tuduhannya yang melampau itu. Apalah gunanya dia ‘menyimpan’ saya sebagai isteri, sedangkan tiada lagi kepercayaannya kepada saya?

“Buat apa saya terus ada di depan matanya, sedangkan dia sudah benci melihat saya? Anak yang baru dilahirnya langsung tidak disentuhnya, seolah-olah jijik.

“Ini cukup membuatkan saya sayu dan terluka. Anak kecil kami itu tidak berdosa, malangnya kehadirannya terpalit dek dosa dan kekhilafan saya sendiri.

“Saya tidak tahu, berapa lama lagi dia sanggup ‘menyimpan’ saya. Saya rela ditalakkan jika itu mampu merawat luka dihatinya. Saya sanggup hidup menjanda, andai itulah kifarah atas dosa berlaku curang kepadanya. Saya rela, saya reda.”

Tambah Reen, tahun ini genap dua tahun hubungan dingin itu berlarutan. Tiada tanda-tanda hubungannya dengan suami akan pulih dan kembali seperti sedia kala.

Sebaliknya, semakin jelas kebencian itu ditunjuk. Dia sudah cuba beralah kerana sedar semua itu berpunca daripada kesilapan diri sendiri.

Reen buntu.

Baginya, penceraian adalah jalan terakhir. Jika itu jalan yang harus dilaluinya, dia reda sepenuhnya.

* Nama dan tempat kejadian telah disamarkan demi kepentingan bersama.
About author

Articles

Penulis gaya hidup di Majalah tersohor negara.
Related posts
Gaya Hidup

6 Rahsia Cipta Ilusi Ruang Kediaman Luas, Selesa

Mahu ruang kediaman kelihatan luas, selesa dan kemas? Banyak cara untuk mewujudkan suasana yang…
Read more
Gaya Hidup

Berhenti Bertengkar. Ini 3 Cara Cari Titik Keserasian

Perkahwinan adalah perkongsian hidup dua individu berbeza. Terutama sikap, cara hidup dan pemikiran.
Read more
Gaya Hidup

Resipi Kuey Teow Daging Mesti Cuba

Anda penggemar Kuey Teow? Tetapi sudah biasa makan Kuey Teow Sup, Hailam atau Ladna? Bosan dan mahu…
Read more

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *