Baru-baru ini, saya berkesempatan ke pasar pagi Kota Jembal (Kedai Lalat), Kota Bharu, Kelantan. Ada macam-macam dijual di sini dan di satu sudut, ada orang menjual ketam nipah. Kata penjual, baru saja ditangkap.
Selain saya, ada dua orang wanita sedang memilih ketam. Mereka mahu Ketam Nipah Betina, selepas ditimbang salah seorang daripadanya merungut harga ditawarkan penjual agak mahal. “Mahal sangat, kurangkan sikit tak boleh ke? Ni bukan ketam laut, ketam sungai kenapa sama mahal?” soal pembeli itu, tidak puas hati.
Mengapa Ketam Nipah mahal?
Terus saya terkenangkan detik pertama kali mengikut nelayan menangkap ketam nipah di sungai kira-kira lima tahun lalu. Ya, sudah lama kejadiannya (Hi…Hi…Hi.), tetapi pengalaman itu sangat berharga. Malah, tetap segar dalam ingatan. Kenangan yang cukup istimewa dan berbekas di hati.
Ketika itu, perasaan bercampur baur, tetapi yang jelas keterujaan itu berjaya melenyapkan rasa takut dan kekok. Hinggakan apabila diberitahu kemungkinan ada binatang buas menghuni sungai itu, saya masih berasa tenang dan ralit mencelup tangan di dalam air.
Selain seronok dapat pengalaman baru, waktu itu saya juga berasa kagum melihat semangat serta kesungguhan warga nelayan sepenuh masa di Kampung Sungai Melayu, Mukim Pulai, Johor Bahru (10 kilometer dari Gelang Patah). Seorang daripadanya, Safiee Jais.
Setiap hari, lelaki berusia 47 tahun itu menggagahkan diri juga kudratnya menyelinap hutan bakau sepanjang Sungai Gading yang menjadi sumber pendapatan untuk menyara keluarga.
Selain pelbagai jenis ikan dan udang, ketam nipah turut mendapat permintaan tinggi kerana dikatakan mempunyai khasiat, isinya banyak dan enak.
Ini memberi peluang kepada nelayan seperti Safiee menambah rezeki berikutan permintaan tinggi di pasaran tempatan, termasuk dari pengusaha restoran makanan laut dan kedai makan sekitar bandar ini.
Menarik di Terengganu: Rumah Botol Jadi Daya Tarikan Kampung Penarik
Pengalaman berharga yang luar biasa
Seawal jam tujuh pagi sebelum air pasang, dia membawa kira-kira 10-20 tangkul (sangkar atau juga dipanggil bento) menyusuri Sungai Gading untuk memerangkap ketam sebelum mengutipnya ketika air pasang.
Kedudukan rumah Safiee di pinggir sungai berkenaan memudahkannya melakukan kerja itu seawal pagi selepas subuh. Dia perlu lebih awal, jika terlewat, lokasi menjadi tumpuan menangkap hidupan itu akan disaingi nelayan lain.
Kata Safiee, memasang tangkul perlu dilakukan ketika air pasang kerana pada waktu itu ketam nipah akan keluar dari lubang persembunyian untuk mencari makanan.
Berdebar juga dibuatnya melihat proses memerangkap ketam nipah ini, apatah lagi ketika mendekati tebing bakau yang berlumpur dan dipenuhi ikan belacak. Bagaimanapun kata Safiee, menjerat Ketam Nipah mudah dan tidak berbahaya.
Hanya memerlukan sedikit penyediaan dan sabar menunggu untuk mendapatkan hasil. Bagaimanapun, seseorang itu perlu mahir mengesan lubuk tepat untuk memudahkan kerja menangkapnya.
“Biasanya ketam ini bersembunyi di dalam lubang di tebing sungai, selain di celah akar pokok bakau. Bau umpan yang diletakkan dalam tangkul akan menarik perhatian ketam untuk keluar dari tempat persembunyian.
“Lagi lama tangkul direndamkan, semakin banyak tangkapan diperoleh. Kebiasaannya, saya boleh dapat antara empat dan lima kilogram tangkapan sehari yang dijual pada harga RM15-30 sekilogram (mengikut saiz). Ada masanya, tak dapat langsung,” katanya.
Mahir dan berpengalaman
Berpengalaman menangkap ketam lebih 20 tahun, Safiee mahir mengecam induk ketam yang mempunyai telur atau sebaliknya.
Antara tanda yang boleh dijadikan panduan, ketam betina bertelur sifatnya kurang agresif dan sepit kecil bertukar warna daripada merah menjadi putih.
“Isi ketam nipah segar memang sedap. Selain dibakar, ketam jenis ini sedap dimasak gulai lemak cili api, tomyam dan sup. Kalau direbus ‘kosong’ dan dicicah dengan sambal kicap memang terangkat.
“Kalau dapat ketam nanti, kita boleh cuba buat,” cerita Safiee sewaktu kami dalam perjalanan untuk melihat sama ada tangkul yang dipasang mengena atau sebaliknya.
Pengalaman mengikut Safiee menangkap ketam nipah cukup berharga, perasaan saya ketika berada di dalam bot sepanjang menyusuri sungai sukar dijelaskan melalui kata-kata. Semuanya berbaur menjadi satu.
Walaupun arus sungai kelihatan tenang, namun bahayanya tidak dapat dijangka. Melihat wajah Safiee yang dibasahi keringat, namun tetap ceria melayan pelbagai soalan saya cukup menginsafkan.
Paling penting, mengajar saya erti kehidupan, kecekalan, kesabaran dan usaha dalam erti kata lebih luas.
Terima kasih Tourism Malaysia dan Tourism Johor kerana memberi peluang dan kesempatan untuk saya menyertai aktiviti yang cukup bermanfaat ini. Bagi saya, ini pengalaman berharga yang luar biasa.
Saya bukan saja berpeluang menangkap ketam, malah berkesempatan melihat dan rasai sendiri bagaimana kehidupan seorang nelayan.
Lebih bermakna lagi apabila saya dan peserta rombongan turut dijemput makan tengah hari bersama penduduk kampung yang begitu ramah serta baik hati.
Hidangan ala kampung yang disajikan cukup menyelerakan. Terima kasih kepada penduduk Kampung Sungai Melayu, layanan yang diberikan akan dikenang sampai bila-bila.
Perintis ekopelancongan
Bagi saya, Kampung Sungai Melayu perlu ada dalam senarai tempat yang harus dikunjungi. Apatah lagi kampung ini telah terpilih sebagai projek perintis ekopelancongan melalui penyediaan kursus peningkatan kendiri dan kemahiran penduduk setempat bagi mewujudkan suasana yang lebih kondusif dan menarik lebih ramai pelancong.
Kampung ini terkenal di kalangan peminat burung sebagai salah satu lokasi migrasi pelbagai jenis burung. Selain mewujudkan kemudahan inap desa, kursus pemantapan pengetahuan dan penguasaan bahasa Inggeris diberikan kepada penduduk setempat.
Pemilihan perintis itu bertepatan dengan misi Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) yang komited untuk membangunkan sektor ekopelancongan di negeri ini bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Iskandar Malaysia.
Banyak aktivti dan pengalaman menarik di sini, antaranya mengumpul kupang, pukul bantak di atas titi, berkayak, kraftangan kupang, menangkap itik dan memancing. Anda boleh hubungi Tourism Malaysia Johor untuk maklumat lanjut mengenai program ini.
- Artikel ini telah dikemas kini.