Agro

5 Manfaat Berkebun Di Rumah Yang Menguntungkan Anda

Kredit foto: articlization.com

Alangkah ruginya jika ruang di halaman atau belakang rumah tidak dimanfaatkan sebaik mungkin. Apatah lagi, zaman ini belanja harian semakin meningkat. Di sana sini kita dengar orang merungut barang mahal, ada kala harga tidak setimpal dengan kualitinya.

Sekalipun tiada kawasan atau tanah yang luas, kita masih boleh berusaha untuk lakukan sesuatu. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalannya. Walaupun tanah (kawasan) hanya sekangkang kera, masih boleh mendatangkan hasil. Mahu tahu apakah manfaat berkebun di rumah ? Teruskan bacaan anda.

Kawasan bertanah terhad, tiada masalah. Kita masih boleh gunakan kaedah penanaman di dalam pasu atau lebih dikenali sebagai tabulanpot.

Kaedah ini bukanlah sesuatu yang baru. Terdapat pelbagai jenis sayuran dan pokok buah-buahan yang boleh ditanam di dalam pasu antaranya sawi, kubis, bayam, lobak putih, kangkung, limau, belimbing, mangga, ciku, duku dan jambu (sekadar menyebut beberapa jenis tanaman).

Manfaat Berkebun Di Rumah

Kita semua pastinya sedia maklum, berkebun di rumah bukanlah perkara baru. Sejak berzaman lagi, kegiatan ini memang sudah sebati sebagai sebahagian daripada gaya hidup.

Baiklah. Kami kongsikan lima manfaat berkebun di rumah yang sangat menguntungkan jika melakukannya secara konsisten. Maksudnya, dilakukan secara berterusan, penuh semangat dan mencintai apa yang sedang kita lakukan.

Sekurang-kurangnya, ada lima manfaat berkebun di rumah yang kita dapatkan. Antaranya;

5 Manfaat Berkebun Di Rumah Yang Menguntungkan Anda
Kredit foto: moneycrashers.com

Buah Asam Kandis Menggamit Memori

#1 Jimat

Dari sekadar minat menanam, anda berjaya menghasilkan pendapatan sampingan di samping  untuk kegunaan sendiri. Tanam sayuran yang mudah hidup seperti bendi, sawi, kangkung, bayam, kacang panjang dan tumbuhan herba keperluan dapur seperti pandan, kari dan kunyit bukan sahaja menjimatkan duit belanja dapur, malah boleh membantu anda menambah pendapatan. Semua tanaman ini boleh dijual di kedai runcit berhampiran rumah atau menjualnya kepada jiran tetangga.

Di pasaran, harga daun sup, ketumbar, kubis, kubis bunga atau kailan bukan murah, ya. Dan bayangkan kita menanamnya sendiri.

#2 Berkhasiat

Anda makan apa yang anda tanam sendiri. Nikmatnya bukan kepalang. Setiap hari, kita dan keluarga tercinta makan makanan berkhasiat, segar dan berkualiti hasil usaha sendiri. Beruntung, bukan.

#3 Terapi jiwa

Bersahabat dengan alam memberi kelegaan luar biasa kepada minda. Setiap hari membelai dan menjaga tanaman yang menghijau cukup menenangkan fikiran. Diri berasa bebas daripada kesibukan dan masalah. Sewaktu siram atau meletak baja, cubalah berbual dengan anak sayur sawi yang anda tanam, rasai sendiri perasaan itu.

#4 Sihat

Aktiviti berkebun membantu tubuh mengeluarkan peluh. Ini secara tidak langsung menjadi sebahagian daripada aktiviti kecergasan fizikal. Tubuh sihat, minda juga lega daripada tekanan. Tidak percaya? Cubalah sendiri.

#5 Mengeratkan silaturahim

Ramai peminat berkebun di rumah berjaya mengeratkan silaturahim. Ada antara mereka bermula sekadar hobi mengisi masa lapang tidak menyangka rumahnya kini destinasi kunjungan jiran tetangga.

Menghubungkan silaturahim adalah salah satu cara yang membolehkan seseorang itu masuk syurga dan sebahagian daripada amalan yang dituntut agama.

Bukan itu sahaja, pada zaman media sosial ini kita dapat bersatu dalam komuniti yang sama minat. Misalnya, menyertai kumpulan berkebun di facebook antaranya Berkebun Di Rumah , Kebun Sayur, Bunga Dan Buah Buahan , Kebun Bandar , Tangan hijau : Jom berkebun , Kebunku Duniaku , Kebun Bandar: Jom Tanam Sendiri , Kebun Bandar, Kampung & Teknik (KBKT) dan lain-lain.

Bergabung dalam komuniti ini, bukan sahaja dapat memberi inspirasi dan semangat untuk menanam, malah kita belajar banyak perkara baru menerusi rakan dalam kumpulan itu yang tidak lokek berkongsi ilmu.

Misalnya, kita dapat belajar cara membuat bahan kawalan serangga secara organik dan bebas racun. Menerusi perkongsian rakan dalam komuniti, kita juga dapat ilmu baru mengenai pokok atau belajar teknik menanam atau membiak pokok melalui tut dan biji benih.

Pendek kata, banyak lagi perkara menarik yang boleh diterokai. Selain peluang berkongsi anak benih pokok dengan rakan lain.

Menarik, bukan. Jadi, apa tunggu lagi. Mari kita manfaatkan peluang dan masa sebaik mungkin. Budi kepada tanah, pasti ada hasilnya.

Jom, kita raih bersama manfaat berkebun di rumah.

Related posts
Agro

Buah Asam Kandis Menggamit Memori

PERTAMA kali ditunjukkan buah ini, saya sangkakan buah Manggis kerana bentuknya sama begitu juga…
Read more

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *