Inspirasi

19 Cara Bina Keyakinan Diri

Tanpa keyakinan, perkara kecil dan mudah sekalipun kita tidak mampu lakukannya. Dan, kadangkala kita sendiri tidak sedar tiada keyakinan yang jitu untuk menyokong kemampuan diri.

Tahun baharu, semangat mestilah ikut diperbaharui. Tidak terkecuali, keyakinan diri kita. Ini penting supaya semua perancangan yang disusun dalam dilaksanakan dengan baik, penuh percaya diri.

Apabila ada seseorang berkata; “Wow, Awak nampak menarik hari ini.” Adakah anda membalasnya, “Terima kasih.” atau beritahu dia bahawa anda baru sahaja keluar dari kereta dengan perasaan marah dan menendang sebiji batu ke atas jalan raya? Atau, apabila berlaku kesilapan, anda kecam diri seperti, “ Hish… Bodohnya Aku!” Mungkin juga kita selalu mengelak daripada diberi pujian dan terlalu keras kepada diri sendiri. Pernah buat begitu? Jika begitu, kita menghadapi situasi sama. Jangan risau, kami akan kongsikan 19 cara untuk membina keyakinan diri.

Cintai diri – Keyakinan diri

Beberapa tahun sebelum ini, saya telah membuang banyak masa dalam hidup apabila terlalu mengambil peduli apa-apa sahaja kata orang. Ya, tidak kira apa kata orang, saya mudah terasa hati.

Jika seseorang tidak suka saya, saya mulai mempersoalkan nilai diri sendiri. Dan, apabila saya bersikap baik, itu kerana mahu memuaskan hati semua orang.

Sekarang, saya berusaha menjadi baik. Tidak ada yang salah dengan bersikap baik. Saya masih melihat diri saya sebagai seorang yang baik tetapi tanpa keperluan untuk memuaskan hati sesiapa. Hanya untuk berbuat baik dan menjadi baik. Cukup.

Huh… Ini memerlukan usaha yang kental dan kesedaran diri untuk keluar daripada kepompong kelemahan diri sendiri. Dan ini tidak berlaku dengan sendirinya.

Saya bangkit dan bekerja keras untuk sayangi diri sendiri. Cintai diri dan percaya kepada diri sendiri.

Teruskan membaca lebih lanjut mengenai percaya diri ini.

19 Cara Membina Keyakinan: Pembunuh Kepercayaan Kepada Diri Sendiri

1. Hentikan berkata sesuatu yang buruk kepada diri anda jika mahu membina keyakinan (kepercayaan).

Bercakap buruk yakni kritikan negatif kepada diri sendiri adalah jauh lebih teruk kesannya berbanding apa sahaja yang dikatakan orang lain kepada kita. 

Mengapa? Sebabnya, minda kita ibarat magnet. Atau dal;am perkataan mudahnya, pusat kawalan diri. Apa-apa yang bermula dari dalam minda, tubuh dan emosi kita akan ikut sama. Maksudnya, kita akan menjadi seperti apa yang kita fikirkan. Bahaya, bukan?

2. Bersikap baik kepada diri anda. Sekiranya anda bercakap mengenai perkara yang baik, anda akan mula mempercayainya. Jika anda mengatakan sesuatu untuk menjatuhkan dan mengalahkan diri kerana tidak memenuhi harapan sendiri. Hmmm… Saya fikir, anda tahu apa kesannya.

3. Berdoa. Luangkan masa untuk memahami kemampuan diri anda. Berdoa dan mohonlah kepada Tuhan supaya diberikan keyakinan diri. Fokus dan percaya anda boleh membinanya.

4. Berfikiran positif. Sama seperti saya katakan pada awal tulis ini. Fikiran adalah pusat kawalan diri kita. Jika fikiran kita selalu buruk (negatif), ubah ‘kawalan’ itu menjadi positif. Lihatlah kesannya, anda pasti setuju dengan apa yang saya katakan ini.

5. Berhenti memuaskan hati orang. Ia bukan tugas anda untuk membuat semua orang gembira dan puas hati. Lagipun, jika seseorang itu tidak pandai menghargai orang lain, betapa susah pun anda cuba buat dia gembira, usaha anda hanya sia-sia belaka. 

Teruskan membaca … 19 Cara Membina Keyakinan

6. Bayangkan diri dengan cara yang anda ingini. Berusaha untuk menjadi individu dalam bayangan anda itu, tetapi pada masa sama bersabarlah dengan diri sendiri.

7. Memerhati seseorang setiap hari. Maksudnya bukanlah memandang dengan cara yang menakutkan, tetapi memerhati seseorang yang menarik perhatian anda. Lihat penampilan dirinya. Cara dia bercakap, ketawa atau menunjukkan emosi tertentu. Anda akan banyak belajar daripada pemerhatian itu.

8. Berhenti untuk menjadi manusia sempurna. Tiada seorang pun di dunia ini mempunyai kesempurnaan jitu. Jadi, adalah satu jangkaan tidak realistik yang kita buat sendiri dan hanya menyebabkan kita berasa kecewa. Putus asa dan tidak yakin kepada diri sendiri.

19 cara membina keyakinan diri

Bagaimana bangkit daripada masalah kemurungan? Baca: 24 Cara Bagaimana Wanita Ini Motivasikan Diri Hingga Berjaya Pulih Sepenuhnya

9. Bersenam. Badan sihat, kelihatan segar dan bertenaga. Ditambah penampilan menarik, keyakinan diri anda juga pasti melonjak.

10. Lepaskan masa lalu anda. Ya berdamailah dengan masa lalu anda. Tiada pembunuh keyakinan yang lebih besar daripada mengalahkan diri anda yang lama. Lepaskan.

11. Bina personal branding anda. Lakukan sesuatu yang memberi manfaat kepada diri anda. Jika anda suka bercucuk tanam, boleh cuba tanam sayur atau buah kegemaran. Mungkin juga boleh hasilkan bahan bacaan bermanfaat kepada masyarakat (rencana, cerpen, novel atau puisi), atau berkongsi resipi masakan kegemaran dan sebarkan melalui media sosial. Secara tidak langsung cara ini membantu anda membina jenama peribadi.

12. Hargai masa anda. Jangan biarkan orang atau sesuatu yang membuang masa anda. Jika ada sesuatu yang tidak betul, tamatkan serta-merta.

13. Keluar dari zon selesa. Cara ini berisiko tetapi sangat berkesan untuk saya. Kesannya luar biasa dan amat berbaloi.

14. Kenali diri anda dengan mendalam. Siapa dan bagaimana diri anda yang sebenarnya. Ketahui secara menyeluruh. Misalnya, apakah ketakutan anda? Apakah yang membuat anda berasa sangat bahagia dan berharga? Ini membantu anda bersedia sedia apabila keadaan itu muncul.

Hei… Belum habis lagi 19 Cara Membina Keyakinan, teruskan bacaan anda.

15. Masa untuk diri sendiri. Ya ‘me time’ ruang terbaik untuk muhasabah diri. Melihat dan menilai kelebihan serta kekurangan anda. Senaraikan apa yang anda suka dan tidak suka mengenai diri sendiri. Jika anda fokus hal buruk, anda akan berasa buruk. 

16. Cabar diri. Setiap hari, lakukan sesuatu yang menakutkan anda.  Tidak perlu sesuatu yang besar dan rumit. Misalnya rakam video anda sendiri. Anda bercakap mengenai diri sendiri, hobi atau apa sahaja. Rakam, tonton semula dan simpan untuk koleksi peribadi anda.

17. Tambah ilmu. Sekarang, banyak sekali buku dan video yang memperkatakan mengenai membina keyakinan diri. Anda boleh dengar video dari Youtube di dalam kereta, ketika memasak atau mengemas rumah.

18. Tegas. Jangan biarkan diri anda seperti lalang ditiup angin. Apabila buat sesuatu keputusan, pegang pilihan anda itu.

19. Berani katakan TIDAK. Hentikan perbincangan dan anda tidak perlu beri apaapa penjelasan.

Kesimpulan

Sayangi dan terima diri  apa adanya lebih baik daripada kutuk kekurangan atau kelemahan anda. Kadangkala, sesuatu yang tidak disukai mengenai diri kita adalah hal yang mengkagumkan orang lain. Fahami, setiap orang tidak sama walaupun kelihatan serupa. Perbezaan itu yang membuat personaliti setiap kita tersendiri.

Berdiri di hadapan cermin. Pandang tepat ke dalam mata anda. Tegapkan badan dan katakan kepada diri anda, “Aku mencintai dan menerima diriku seadanya aku. Aku yakin, aku mampu menakluki diriku sendiri. Dan, aku tidak perlu malu dengan kekurangn diriku.”

About author

Articles

Berusaha menulis dari hati, dengan harapan anda yang membaca puas hati. Jika anda rasa tulisan saya ini bermanfaat, silakan kongsi dan sebar luaskan kepada kenalan anda. Terima kasih.
Related posts
Inspirasi

Motivasi: 17 Sebab Kita Cepat Putus Asa Capai Impian

Setiap kita pastinya ada impian dan harapan yang ingin diraih. Kemudian, kita berusaha untuk…
Read more
Inspirasi

Tak Mengapa Rasa Sedih Dan Bersalah: 5 Cara Mengatasi

Pernah rasa seperti langit pun kelihatan lebih kelabu daripada biasa, dan semua benda yang kita buat…
Read more
Inspirasi

Berhentilah Overthinking: Semuanya Akan Baik-Baik Saja

Hai semua! Sihat-sihat hendaknya. Hari ini, saya mahu berkongsi tentang satu perkara yang selalu…
Read more

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *