“Malam tadi suami mahu bersama, tetapi saya tolak. Rasa tak yakin dengan diri sendiri, macam mana kalau hasilnya tak sama seperti sebelum bersalin?” Luah Nana yang sudah sebulan habis berpantang anak sulongnya.
Tidak dinafikan, ramai wanita berasa takut melakukan hubungan kelamin selepas bersalin. Bimbang apakah hasilnya nanti akan memberi kepuasan sama seperti sebelumnya.
Ada juga yang gementar mahu bersama pasangan kerana bimbang mendatangkan rasa sakit, khususnya jika mengalami jahitan atau pembedahan.
Ketakutan melakukan hubungan kelamin selepas bersalin boleh menjadi rumit, seperti masalah kemurungan, gelisah secara tiba-tiba apabila bersama pasangan dan menolak hubungan kelamin.
Selepas bersalin, hubungan intim boleh dilakukan selesai tempoh berpantang atau 40 hari pasca bersalin. Ahli perbidanan dan kandungan menyarankan, hubungan intim boleh dilakukan dalam tempoh empat hingga enam minggu selepas bersalin.
Ini untuk memberi peluang pada tubuh untuk sembuh dan keadaan rahim serta bahagian kelamin kembali pulih seperti sedia kala. Ada juga beberapa fakta mengatakan, tubuh cepat sembuh jika ibu menyusui bayinya.
Baca: Apabila Tiada Lagi Keserasian Dalam Perkahwinan
Tip ini mungkin dapat membantu anda juga pasangan kembali intim, sekali gus berkeyakinan ketika melakukan hubungan kelamin;-
• Waktu sesuai
Penat memang masalah besar bagi wanita selepas bersalin. Jadi, cari waktu untuk bermesra dengan pasangan ketika si kecil tidur. Ketika ini, anda dan pasangan dapat menikmati hubungan kelamin dengan selesa.
• Pelincir
Jika organ intim terlalu kering, cuba atasi dengan menggunakan bahan pelincir untuk membantu mengelakkan kesakitan ketika bersama.
• Rangsangan
Sesi pemanasan seperti membelai, bercumbuan dan kata-kata romantis amat penting bagi merangsang ghairah pasangan. Secara psikologi, selepas bersalin, wanita memerlukan pemanasan lebih panjang ketika melakukan hubungan intim.
• Bertimbang rasa
Anda dan pasangan mungkin ada posisi kegemaran ketika bersama, tetapi tahan dahulu keinginan itu hingga tubuh dan organ dalaman pulih sepenuhnya.
Beberapa kajian hubungan kelamin menunjukkan, posisi paling sesuai dan selesa bagi wanita selepas bersalin adalah woman on top. Posisi ini dapat membantu mengawal setiap gerakan ketika bersama pasangan. Jadi, pasangan harus memberi kerjasama, bertimbang rasa dan lebih memahami.
Baca: Suami Ada Perempuan Lain? Isteri Usah Cepat Mengalah
• Pencegahan
Bayi anda masih kecil dan tubuh dalam proses pemulihan, jadi jangan lupa menggunakan alat mencegah kehamilan supaya jarak hamil tidak terlalu dekat.
• Kencangkan kembali
Selepas bersalin, wanita disaran melakukan senaman untuk membantu menguatkan dan memulihkan kembali otot punggung khususnya pada bahagian sulit. Senaman ini kenali sebagai senaman kegel.
• Nutrisi
Keperluan nutrisi harus dipenuhi kerana ini penting dalam proses pemulihan kesihatan tubuh.
• Merawat diri
Belai dan manjakan diri di spa. Cara ini juga boleh membantu mengubah pandangan negatif anda seperti hilang keyakinan diri, berasa tidak seksi atau gemuk selepas bersalin hingga menganggap diri tidak lagi menarik di mata suami.
Baca: Ini 9 Rahsia Bina Hubungan Suami Isteri Yang Serasi
• Sokongan emosi
Suami yang baik dan bertimbang rasa mampu memahami keperluan isterinya, apatah lagi selepas bersalin. Misal, menemani isteri ketika menyusui atau mengurus bayi, bersedia bangun tengah malam, bantu menjaga bayi atau memicit tubuh isteri ketika dia kepenatan. Sikap ini membuat isteri gembira, selesa dan lebih berkeyakinan.
• Komunikasi
Tingkatkan komunikasi yang baik dan intim dengan pasangan. Apabila komunikasi berjalan lancar, pasangan suami isteri berasa saling memerlukan dan lebih bahagia.