Inspirasi

Ramadan Di Rantau Orang, Ini Kelebihan Berpuasa Di Luar Negara

Penulis: Khairolizam Muhaidi

Tidak dinafikan bahawa bulan Ramadan akan membuatkan percikan rindu pada kaum keluarga dan tanah air akan bertambah.

Sebabnya, pada bulan mulia (Ramadan) ini, sering mengundang nostalgia bersama kaum keluarga di tanahair. Dari sirap selasih ais buatan bonda hinggalah kepada kenangan duduk semeja bersama keluarga untuk sahur, semuanya terhimpun bersama menghasilkan ombak-ombak rindu nan menghempas pantai cinta dan batu-batu ketabahan.

Macam cerpen, sudah bunga-bunga ayat ni… Hu… Hu… Hu.

Kelebihan Berpuasa di Luar Negara (sebelum pandemik C19)

Apakah benar puasa di luar negara ni selalunya tak seronok? Jawapan aku, tak semestinya. 

Di sini, aku akan cuba tulis kelebihan berpuasa di luar negara, versi aku.

(Sebelum baca ada maklumat penting di sini : Keadaan ‘luar negara’ yang ditulis dalam FB ini adalah berdasarkan kehidupan aku di Jerman (tentulah negara minoriti muslim). 

Tentunya di tempat lain keadaannya berbeza tapi tak mustahil ada juga keadaan yang sama.

Kelebihan Berpuasa di Luar Negara
Di Jerman, tiada pasar Ramadan. Tiada kelibat Mesut Özil datang ke pasar Ramadan membeli Taufu Fa Gula Merah. 
Baca: Orang Jerman Yang ‘Civic Minded’ Dan Beradab

Tiada godaan makanan.

Pernahkan anda terfikir kenapa gejala membazir sewaktu bazar Ramadhan di Malaysia sering berlaku? 

Kadang-kala, bukanlah sebab kita nak makan sangat, tapi lebih kepada ‘kewujudan’ makanan tersebut sekeliling kita. 

Kalau kita tinggal di tengah hutan dan yang ada hanyalah sebungkus roti Gardenia (tanpa jem kaya), tentunya kita tak akan merengek dan mahu demand makanan ‘eksotik’ serupa roti John atau nasi kerabu solok lada. Kita tetap berasa kenyang dengan menelan roti Gardenia kosong.

Pada pendapat aku, orang kalut nak beli makanan di bazar Ramadan sebab perkara berikut:

Sebab nanti waktu malam, gerai dah tutup. Maka, kalau tiba-tiba teringin nak makan kuih tepung talam, kena tunggu pasar Ramadan esok. 

Yang sudah lama di perantauan, rasa nak beli semua makanan di bazar Ramadan, sekali-sekali dengan makcik jual kuih pun nak dibeli adalah sebab lama tak berjumpa makanan Malaysia. 

Jadi, bukan isu lapar puasa sangat, lebih kepada isu nafsu serakah makan kita yang membuak-buak.

Di Jerman, tiada pasar Ramadan. Tiada kelibat Mesut Özil datang ke pasar Ramadan membeli taufufa gula merah. 

Di sini, makanan hanya dibeli dari kedai-kedai makanan halal Arab atau Turki yang dibuka sampai lewat petang sahaja. 

Jadi, tak perlu kalut-kalut membeli sebelum berbuka kerana kalau lapar malam-malam nanti (lepas solat tarawih contohnya), baru beli. 

Tak perlu nak beli segunung sebukit makanan sebelum berbuka. Hal ini mengurangkan pembaziran makanan.

Di Jerman sebenarnya, ada juga pasar Ramadan orang Malaysia buat – tapi hanya setakat dari rumah kemudian promote di FB.

Tiada godaan-godaan makanan sekeliling mata menyebabkan dosa kerana membazir makanan akan berkurangan.

Baca: Ego Seorang Lelaki Simple

Waktu lebih lama untuk beribadat.

Tentunya kalau sebut puasa di Eropah, semua tarik muka cakap lamanya berpuasa (sampai ada yang balik awal ke Malaysia sebab nak lari dari berpuasa di sini)! 19 jam? 

Tak sanggup! Tak dapat nak bayangkan betapa jarum jam akan merangkak-rangkak untuk sampai jam 9.30 malam.

Waktu lama berpuasa membolehkan kita memanfaatkan kelebihan orang berpuasa.

Antara kelebihan yang aku nampak:

• Waktu lebih panjang untuk doa mustajab.

• Terhindar dari perkara-perkara melalaikan.

• Kegembiraan sewaktu berbuka.

• Keampunan dari Allah Ta’ala.

• Waktu malam yang sangat pendek. (Jadi, kita lebih akan lebih menghargai sebab waktu pendek dan kita tergerak untuk memanfaatkannya)

Kelebihan Berpuasa di Luar Negara
Kredit fotro: www.geo.tv

Jom ke masjid!

Pernah dulu aku berRamadhan di Syria – aku berbuka masa 27 kali di masjid dan 3 kali di rumah orang (dijemput). 27 kali di masjid itu adalah di 7 masjid berlainan. Tak masak langsung..huhu..

Yang seronoknya berbuka di masjid ni adalah:

Dapat terus bersolat jemaah Maghrib. Jadi, takla rasa berat perut nak mengangkat diri dari rumah untuk ke masjid sesudah berbuka untuk solat Maghrib. 

Makanan di masjid pun sedap dan banyak. Selepas kami sekeluarga keluar Syria dan terus ke ke Manchester, orang masjid tahu kami bermusafir dari Syria, jadi seorang pakcik Arab ni selalu tunggu aku habiskan solat sunat untuk tawarkan makanan (beriani kambing!) untuk dibawa pulang.

Sejujurnya dah kenyang dan teringin nak makan benda lain untuk sahur, tapi bila fikirkan ini dah macam kewajipan untuk tolong habiskan makanan, kalau tak membazir. 

Berbuka di masjid mendidik untuk bersifat sederhana dan ‘terima saja apa yang ada’. Tak semua masjid makanannya mewah. 

Ada hari makan sedap, ada hari makan tak sedap. Jadi mind set sewaktu melangkah ke masjid berbuka adalah – “Apa ada hari ni, kita bantai saja! Kalau jemaah tetiba ramai dan makanan sikit, kita kongsi sorang sikit”. 

Pernah aku ke satu masjid yang selalu hidang nasi beriani tapi hari tu roti cicah kari, jadi makan dan bersyukur sahaja. Tak perlu tergedik-gedik nak ayam percik lah, agar-agar merah dan sebagainya. 

Peluang berkhidmat untuk masjid/komuniti. Hadir ke masjid dapat bertemu ramai rakan Islam dari negara lain. Dapat sama-sama bentang plastik, tolong hidang makanan. 

InsyaAllah, Allah kurniakan kegembiraan di hati kita yang menjamu orang untuk berbuka. 

Sambil tunggu boleh berbuka buat amalan lain. Kalau di rumah sendiri, tentunya lepak, bergolek-golek macam buah Melaka atas katil. 

Kalau di Malaysia, tengok drama di TV. Tapi di masjid, insyaAllah boleh fokus baca al-Quran, berdoa dan sebagainya. 

Kepada wanita, ada masjid di Syria yang buat buka puasa hanya untuk kaum wanita sahaja. 

Di negara bukan Islam lain, kalau yang ada masjid berdekatan tu bolehlah cuba. Pokok utama adalah jangan membazir!

Baca: Ana Balqis Menulis: Teruja Jadi Penyelamat?

Semangat muhibah komuniti Malaysia.

Bila di Malaysia, masing-masing ada keluarga. Tapi di luar negara, kawan-kawan Malaysia sekeliling ibarat keluarga sendiri. 

Maka sewaktu puasa dan raya, keakraban silaturahim akan bertambah. Akan ada bertukar juadah, jemputan berbuka di rumah dan sebagainya.

Di Jerman, yang sememangnya tak ramai student dan ada juga yang ramai balik bercuti maka akan lebih akrab sesama sendiri. Ada juga program tadarus dan sebagainya.

Mengurangkan pembaziran wang

Sebab berbuka puasa banyak di masjid atau masak sendiri, maka taklah membazir sangat nak beli banyak makanan di bazar Ramadhan atau bergedik-gedik berbuka puasa di hotel (walaupun tahu diri tu miskin). Tambahan kalau di Eropah, masak sendiri sangatlah menjimatkan. 

Kesimpulannya,

Di luar negara dan di Malaysia – kedua-duanya adalah kelebihan berpuasa yang tersendiri. Setiap tempat ada kekurangan dan kelebihannya.

Paling penting adalah untuk tidak cemburu dengan orang-orang di Malaysia. Sebaliknya hendaklah kita cari kelebihan yang kita ada di bumi orang. 

InsyaAllah ada, cuma kita kena cari dan hayati. 

Sepanjang aku menjadi anak rantau, alhamdulillah lebih banyak kegembiraan berbanding rasa kedukaan (tak tahan puasa, rindu keluarga dan sebagainya). 

Hidup rasa bersemangat dan waktu untuk buat kerja lebih lama sebab tak perlu fikir soal makan pagi dan tengah hari. 

Walaupun pengalaman di atas ditulis berdasarkan kehidupan aku menjadi anak rantau, tapi tidak mustahil kelebihan di atas dirasai orang lain di serata dunia. 

Pendek kata, bulan Ramadhan di negara minoriti muslim ada kalanya lebih meriah berbanding puasa di negara orang majoriti Islam. 

#MelayuJerman #BudayaJerman

Kelebihan Berpuasa di Luar Negara

Penulis: Khairolizam Muhaidi

Satu dekad 🇲🇾 di perantauan. Travelog Damsyik, Syria 🇸🇾 dan Frankfurt, Jerman 🇩🇪

Related posts
Inspirasi

19 Langkah Bangkitkan Keyakinan Diri

Tanpa keyakinan, perkara kecil dan mudah sekalipun kita tidak mampu lakukannya. Dan, kadangkala kita…
Read more
Inspirasi

7 Kata-kata Emas Dan Motivasi Jack Ma Untuk Pemula

Jack Ma dan kata-katanya. Tidak pernah berhenti memukau. Setiap butir kata lelaki terkaya China ini…
Read more
Inspirasi

Rendah Hati Walau Sejauh Mana Kita Pergi

Kadang-kadang, kita terlupa. Apabila kita sudah capai apa yang kita impikan, apabila kita berasa…
Read more

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *