Inspirasi

Ego Seorang Lelaki Simple

“Tidak mudah mengalah, tidak boleh dipijak henyak. Kita bangsa degil yang tak mudah mengalah. Bangkit dan melawan!”

Ini kisah seorang ‘lelaki simple‘ yang punyai egonya sendiri. Kata segelintir orang, ego tak membawa kita ke mana-mana. Tetapi, ada keadaan di mana ego itu mampu mengubah sikap dan nasib seseorang. Bukan sahaja mampu ubah diri, malah pada masa sama berpeluang membantu orang lain.

Perkongsian daripada Cikgu Mohd Fadli Salleh yang terkenal dengan prgram gerak aktiviti amal (menerusi) pertubuhan Dana Kita, ini wajar menjadi panduan dan pedoman.

Penuh inspirasi yang membangkitkan semangat juang, khususnya buat kita yang sedang bergelut mendepani cabaran hidup.

Baca: 7 Kata-kata Emas Dan Motivasi Jack Ma Kepada Anak Muda

Ego Seorang Lelaki Simple

Aku sejenis lelaki simple

Dengan selipar Jepun RM2 sepasang, dengan baju seluar bundle harga RM10 sahaja boleh ke mana-mana. Tanpa malu, tanpa segan.

Tidur tak berbantal tak apa. Selimut tak ada, aku peluk tubuh sendiri. Atas lantai pun boleh lena.

Aku tak gusar duit di poket tiada. Buat air Teh O, cicah biskut lemau yang sudah expired pun jalan saja. Asal dapat alas perut, jadilah.

Aku tak kisah jalan seorang diri. In fact, aku suka bergerak sendiri. Tak mahu susahkan orang, tak terikat dengan peraturan orang.

Aku boleh makan kat kedai makan sorang-sorang. Jalan pusing uptown, pakai kain pelikat jam dua pagi sorang-sorang sampai berjam-jam.

Aku tiada masalah. Orang nak pandang pelik atau apa, aku tak endah. Asal aku tidak menyusahkan orang, cukuplah. 

Aku juga sejenis nekad tak tentu hala. Jenis rempuh semberono tak fikir panjang. Jenis buat dulu, baru fikir kemudian.

Pernah balik kampung dari Bangi ke Kelantan, naik motor dengan duit cuma RM10. Tu pun, kena kongsi dua.

Tahu dah pasti tak sampai. Tapi, rempuh juga. Nanti minyak habis, kita fikir cara. Yang penting, rempuh dulu. Akhirnya selamat juga sampai. Tapi gila. Cukup gila. Wakaka.

,Bila jadi cikgu, orang lain kalut buat tuisyen, cari side income, aku rileks tak buat apa-apa. Padahal, beratus parent tanya aku buat tuisyen atau tidak.

Alhamdulillah, budak-budak suka dan mudah faham bila aku mengajar.

Tapi aku tolak. Aku nak rehat. Tak nak terikat dengan jadual waktu, nak bebas dengan cara aku. Tenang aku hadapi setiap masa lapang dengan cara aku tersendiri. Boleh tidur sedap pada hujung minggu, malam boleh lepak sampai ke pagi. 

Senang cerita, aku malas. Haha. 

Masa awal berkeluarga, perangai aku masih sama. Aku tetap aku, dengan kain pelikat boleh masuk pasaraya, dengan selipar Jepun dan baju bundle pusing kota seorang diri di tengah malam buta.

Ego Seorang Lelaki Simple

Aku lelaki simple.

Namun bila berkeluarga, aku ada satu ego seorang lelaki. Satu ego seorang suami. Satu ego seorang ayah.

Dan ego itu mengubah aku yang simple ini.

Ego punya pasal, hari pertama kahwin aku terus sound isteri,

“Sewa rumah, bil api, bil air, bil telefon awak, bil hospital, bil apa-apa, jangan sentuh. Jangan bayar. Biar abang bayarkan. Itu tugas abang sebagai suami”.

Fuh. Kemain ego tak padan gaji. Padahal gaji aku diploma je. Tu pun penuh komitmen dah. Wife gaji degree

Dan aku buat itu. Aku buat sungguh tanpa pernah merungut. Hampir 12 tahun usia perkahwinan kami, tidak pernah sekali isteri aku bayar apa jua bil atau sewa rumah.

Bukan tak pernah bil sampai surat merah amaran bakal dipotong bila banyak bulan tertunggak, puan isteri nak bayarkan, aku marah.

“Jangan bayar! Jangan risau, nanti abang settlekan”.

Isteri aku patuh. Diam dia tidak melawan. Dia tahu aku pasti settlekan. Sebab aku sejenis yang ego. Orang ego akan pastikan janji dia dikotakan. Jatuh air muka jika janji tidak ditepati ni. 

Setiap bebanan kewangan, setiap bil yang aku tak mampu langsaikan, aku tak pernah minta duit dengan isteri. Minta pinjam pun tidak pernah. Walau aku tahu dia ada. 

Baca: Bilik Darjah Berhias Seperti Rumah Sendiri, Idea Kreatif Cikgu Ini Buat Murid Teruja Ke Sekolah

Ego seorang suami aku sangat tinggi.

Aku akan pinjam dengan sahabat-sahabat baik aku untuk settlekan bebanan kewangan yang aku tak mampu tanggung. Aku rela berhutang dengan kawan daripada pinjam dengan isteri sendiri.

Mungkin pada setengah kalian, itu pelik. Namun, itu aku.

Duit tinggal seringgit dalam poket, nak ke sekolah tak ada duit belanja makan pun aku still takkan minta dengan isteri aku. Aku sanggup berhutang di kantin.

Rela bayar minyak motor dengan duit syiling yang aku kumpul dalam kocek kecil seluar jean bundle aku. Punyalah ego tak nak pinjam duit isteri waima RM5.

Tapi isteri tetap isteri. Dia faham suami dia.

Kadang dia selit RM10, RM20 dalam dompet aku saat aku tidur lena. Terkejut juga buka wallet yang sepatutnya tinggal RM2 ada RM22. 

Bila aku tidur, dia buka wallet. Hanya ada resit dan kertas sahaja dalam wallet. Dia faham dan dia pernah selit beberapa kali hingga aku sound semula,

“Abang ada duit. Tak sempat cucuk”.

Kata aku bila dia bertanya tentang duit dan dompet yang kosong. Aku cakap benar, dalam bank aku benar ada duit. Ada la RM4.35 lagi. Nak cucuk je tak boleh. Jenis cucuk kad keluar kad ja. 

Punya la ego aku kan? Haha.

Namun sampai ketika, Tuhan kirim satu nyawa dalam rahim isteri aku. Isteri mengandung.

Baju mengandung orang perempuan ni mahal-mahal. Banyak jenis pula tu. Telan air liur aku nak membeli. Dan la beli sehelai dua. 

Masa ni puan isteri minta izin dia nak belikan sendiri baju mengandung. Aku jawab ‘ok’ sahaja.

Perit nak jawab masa tu. Sebab aku letak tanggungjawab itu atas aku semuanya. Tapi dah masa tu tak mampu. Tercalar sungguh ego aku sebagai seorang suami. 

Kemudian bila anak lahir, ego seorang ayah pula datang.

Masuk kedai baby, tak pilih barang murah. Nak yang terbaik saja. Botol susu nak jenama MAM dan Avent. Pam susu nak beli Avent mulanya, tapi tak mampu. Beribu yang automatik tu. Ambil jenama Spectra, tu pun harga boleh tahan juga.

Anak selesema sikit, sakit sikit, bawa ke klinik swasta. Nak cepat, klinik kerajaan agak lambat. Que panjang. Rabak lagi poket.

Pernah terdengar puan isteri belek Fb kemudian cakap,

Baca: Cikgu Ina Tidak Kedekut Kongsi Resipi

“Wah. Bestnya pergi melancong.”

Aku diam tak kata apa. Buat-buat tak dengar saja. Masa ni aku nekad. Nekad senekad-nekadnya.

Aku tak boleh lagi bermalas-malasan. Tercalar ego aku sebagai seorang lelaki, sebagai seorang suami, sebagai seorang ayah jika aku terus bermalasan begini.

Kewangan makin genting bila ada anak. Pampers nak kena beli. Susu Frisolac yang mahal tu nak kena bayar.

Tercalar teruk ego aku sebagai seorang suami dan ayah jika semua persiapan anak-anak, bil klinik dan sebagainya dia yang bayarkan.

Mana boleh jadi begitu.

Aku lelaki. Aku suami. Aku ayah. Dan aku ada ego aku. 

Dari situ aku humban segala kemalasan aku, aku terjun ke jalanan buat apa saja untuk tambah income.

Aku sekolah sesi petang. Balik sekolah sampai rumah jam 7 malam. Mandi, makan malam, jam 8:30 malam aku sudah keluar rumah. Pulangnya jam enam pagi.

Ikut kawan berniaga kat uptown dengan gaji RM0-RM30 satu malam. Ya, pernah langsung tak bergaji bila tak ada customers pun datang.

Lepas tu macam-macam lagi aku buat. Apa jua peluang aku rembat. Nampak orang jual simkad School Of X (Celcom), aku mesej tanya nak jadi ejen bawah dia.

Nampak kawan jual air, aku tawar diri nak jual air. Nampak kawan buka kedai daging bakar, aku tawar jadi pekerja.

Aku peduli apa kerja apa pun. Yang untung 50 sen pun aku jual juga. Aku tak peduli penat, aku kurangkan masa rehat. Kerana aku tak nak ego aku tercalar.

Aku tak nak lagi saat anak aku tunjuk mainan harga RM15 aku perlu jawab sekali lagi,

“Nanti ayah gaji ayah belikan ya!”

Peritnya perasaan itu bila anak minta sesuatu yang murah tidak mampu aku tunaikan. Ia merobek-robek hati ini, terasa begitu uselessnya aku.

Sepuluh tahun kami berkahwin, aku tak pernah bawa isteri aku ke kedai emas. Tak pernah bawa melancong. Dan, dia setia disisi tanpa pernah minta waima sebentuk cincin murah yang harga bawah RM200.

Isteri dan anak, mereka kekuatan aku.

Aku usaha sungguh-sungguh untuk keselesaan mereka walau mereka tak minta. Untuk aku, aku tak perlu keselesaan sangat.

Aku lelaki simple. Cukup dengan motor buruk, sedikit makanan untuk alas perut dan satu tempat berteduh untuk merehatkan badan. 

Tapi demi anak dan isteri, aku nak mereka selesa. Aku tahu itu tanggungjawab aku. Dan aku tidak mahu ego aku sebagai seorang lelaki, sebagai seorang suami, sebagai seorang ayah tercalar lagi.

Sepertimana ia pernah tercalar dulu, cukuplah untuk waktu itu.

Baca: Kesederhana Sugu Pavithra Pikat Hati Penonton YouTube

Masa merubah. Tuhan tidak pernah membiarkan usaha hamba-Nya sia-sia

Ego Seorang Lelaki Simple

Setelah tabungan stabil, kewangan kukuh, tahun ke-10 perkahwinan kami, kali pertama aku heret tangan isteri aku masuk kedai emas buat pertama kali. Menangis dia. 

Tahun ke-10 perkahwinan kami, aku bawa isteri, anak-anak, mak mertua dan adik ipar sekali pergi melancong naik flight. Semua aku support penuh.

Semoga tahun ini dan tahun-tahun mendatang, rezeki aku Allah terus murahkan. Amin.

Itulah dia sedikit pengkisahannya tentang seorang aku.

Aku tak tahu ada ke tak orang baca tulisan ini hingga ke noktah terakhir. Namun jika ada kalian yang membacanya hingga ke perenggan ini, dan kalian masih dalam situasi struggle, kesempitan dan masih banyak beban kewangan, ingatlah;

Usaha dan usaha saja.

Cari Big Why kenapa perlu aku usaha.

Ego Seorang Lelaki Simple

Kenapa perlu aku ubah diri. Kenapa perlu aku gigih dan tidak berhenti.

Satu ketika yang tepat, dengan usaha yang hebat, satu demi satu Tuhan buka lorong rezeki.

Satu demi satu masalah itu akan berlalu pergi.

Salam tahajjud. Salam perjuangan. Salam kasih Tuhan. 

Salam semangat wahai makhluk liat yang tidak mudah mengalah dan tidak boleh dipijak henyak!

Kita bangsa degil yang tak mudah mengalah. Bangkit dan melawan!

#MFS 

– Ego seorang lelaki simple –

Related posts
Inspirasi

Motivasi: 17 Sebab Kita Cepat Putus Asa Capai Impian

Setiap kita pastinya ada impian dan harapan yang ingin diraih. Kemudian, kita berusaha untuk…
Read more
Inspirasi

Tak Mengapa Rasa Sedih Dan Bersalah: 5 Cara Mengatasi

Pernah rasa seperti langit pun kelihatan lebih kelabu daripada biasa, dan semua benda yang kita buat…
Read more
Inspirasi

Berhentilah Overthinking: Semuanya Akan Baik-Baik Saja

Hai semua! Sihat-sihat hendaknya. Hari ini, saya mahu berkongsi tentang satu perkara yang selalu…
Read more

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *