Inspirasi

5 Sebab Gagal Lepaskan Cinta Lama Dan Move On

Kredit Foto: newlifechiro.ca

Dalam setiap kisah cinta, banyak ceritanya. Dari bahagia hingga ke tragedi yang melukakan hati.

Saya percaya, setiap kita pasti ada kisah (atau sejarah) cinta sendiri. Baik yang menghadirkan bahagia, mahu pun meninggalkan derita dalam hati. Sebab itu, sesuatu yang lumrah apabila ada segelintir kita masih terperangkap dalam kesedihan. Barangkali, mengapa gagal lepaskan cinta lama dan move on ?

Cerita cinta ini tidak akan pernah habis untuk dibicarakan. Cinta, banyak sekali sisi yang boleh kita sentuh. Sama ada baik atau buruk, ada kesan pada hati kita.

Jika kesudahannya menzahirkan bahagia, Alhamdulillah. Pun, andai berlaku pengakhiran seperti yang kita harapkan, tetap bersyukur.

Mengapa?

Mengapa perlu bersyukur sedang hati telah disakiti? Kasih dan setia dikhianati, ditinggal pergi tanpa berpaling lagi. Mengapa harus tetap bersyukur apabila ini yang terjadi?

Teruskan bacaan anda, saya akan kongsikan beberapa sebab mengapa segelintir kita gagal lepaskan cinta lama dan move on.


Andaikan cinta kita berakhir dengan kegagalan. Sama ada sebelum atau selepas berkahwin, bersyukurlah kerana kita terselamat daripada meneruskan hubungan yang penuh kepura-puraan sekali gus menyakiti perasaan sendiri.

Barangkali bertahan dek kasihan, tanggungjawab. Atau paling menakutkan kerana mahu mengambil kesempatan atas kenaifan kita. Katanya cinta, padahal ada udang di sebalik batu.

“Saya sudah tak ada perasaan cinta dan sayang kepadanya. Tetapi kerana kasihan, saya teruskan hubungan kami. Saya tak tahu berapa lama harus membohongi hati sendiri?”

Ini 5 sebab mengapa anda gagal lepaskan cinta lama dan move on

Hubungan cinta berakhir. Semua perasaan berbaur menjadi satu. Berbulan, malah bertahun, anda sudah berusaha untuk tidak menghubungi, melihat atau memikirkan dia. Tetapi, meskipun segala cara telah dicuba untuk mengusir bekas cinta hati daripada kepala anda, dia tetap bermain dalam ingatan.

Baiklah, mengapa anda gagal move on daripada kisah cinta yang menyakitkan itu? Berikut ini mungkin menjadi satu daripada puncanya;

1. Sakit hati kepada bekas pasangan. Ya, kegagalan cinta membuat hati anda terluka, sakit dan sangat kecewa terhadap pasangan. 

Perasaan cinta berubah menjadi marah, kesannya menimbulkan dendam. Walaupun kejadian putus cinta itu sudah lama berlaku, tetapi rasa sakit hati masih berbekas dan terus mengganggu emosi anda.

Dalam hal ini, perempuan lebih mudah terkesan dek kegagalan cinta. Ini kerana mereka makhluk yang emosional. Bagi sebahagian besar perempuan, proses jatuh cinta itu berjalan perlahan dan mengambil masa/tempoh tertentu. 

Jalinan perasaan perempuan kepada lelaki terbentuk seiring waktu hingga dia benar-benar jatuh cinta, mengenali dan memahami lelaki itu. 

Perempuan juga meletak banyak harapan kepada lelaki yang dicintainya dan itu menjadi sebab mengapa hubungan yang berakhir atau pengkhianatan memberi kesan besar pada emosi mereka.

Bagaimana pun, berterusan menyimpan perasaan sakit dalam hati hanya merugikan diri sendiri. Cinta yang berakhir di pertengahan jalan memang menyakitkan. Kekecewaan yang tiada siapa mampu menafikannya. Pun begitu, percayalah, anda pasti boleh terus melangkah dan merelakan dia pergi.

2. Terlanjur cinta. Nama pun cinta, pastilah kasih dan sayang menebal dalam hati. Apatah lagi jika hubungan itu berjalan waktu yang lama, bertahun. Malah, sudah merancang ke peringkat lebih serius – berkahwin.

Bagaimanapun, kita tidak mampu menduga hal masa depan kerana Tuhan sebaik-baik Perancang. Sayangnya, anda sudah terlanjur mencintainya, sepnuh jiwa raga. Akibatnya, sukar untuk melenyapkan perasaan itu. 

Putus cinta, tetapi kasih anda kepadanya masih kemas dalam hati. Ya, memang susah untuk menolak keadaan ini. Tiada siapa yang mahu dan sanggup, tetapi anda harus menghadapinya dengan jiwa besar.

Hidup harus terus berjalan. Apatah lagi bekas pasangan anda sudah pun move on daripada sejarah percintaan kalian, sampai bila anda mahu terus terperangkap dalam kenangan masa lalu? Lelaki dan perempuan, kedua-duanya berhak untuk hidup bahagia bersama pasangan yang tepat.

“Setiap kali hatimu hancur, pintu terbuka untuk dunia yang penuh dengan permulaan baru, peluang baru.” Patti Roberts.


3. Terperangkap dalam kenangan. Hubungan yang sudah berjalan beberapa tahun pastinya anda mempunyai banyak kenangan bersama bekas pasangan. 

Ketika hubungan itu terlerai, seseorang menjadi susah move on kerana terperangkap dalam kenangan masa lalunya. Banyak waktu bahagia dan gembira dikongsi bersama pasangan. 

Semua itu menjadi memori indah itu selalu terbayang dalam fikiran anda. Meskipun sudah putus lama, anda masih ingat atau selalu mengenang kembali kenangan manis itu

Anda tidak perlu memadam atau membuang kenangan itu. Kenangan tetap menjadi memori dalam sejarah hidup anda. 

Anda hanya perlu ambil langkah ke hadapan, mulai hidup baru dan simpanlah kenangan jauh di sudut hati. Semalam adalah kenangan, fikirlah hari ini dan esok untuk masa depan.

Selalu Rasa Waswas? Ini 19 Cara Bina Keyakinan Diri

4. Menyesal. Masih terperangkap dalam perasaan menyesal dan bersalah sama ada kerana meninggalkan atau berlaku curang terhadap pasangan. 

Perasaan itu sering menghantui fikiran juga emosi anda. Lebih teruk lagi, apabila anda bertindak menghukum dan menghakimi diri sendiri atas kegagalan hubungan itu.

Memang wajar apabila ada perasaan kesal dan bersalah. Tetapi, anda tidak boleh terus tenggelam dalam perasaan itu. Tindakan yang betul, minta maaf kepada bekas pasangan setulus hati. 

Sama ada dia memaafkan anda atau tidak, teruskan langkah anda. Pandang ke hadapan dan jalani hidup yang lebih baik. Dan pastinya dengan tekad untuk tidak mengulangi perbuatan itu lagi.

5. Terlalu peka. Betul. Hidup kita ini tidak terlepas daripada ‘perhatian’ orang di sekitar. Baik keluarga, rakan atau mereka yang mengenali anda.

Begitu pun, janganlah sampai kata-kata mereka mempengaruhi keputusan anda. Usah terlalu peka dengan tanggapan mereka.

Biarkan mereka berpendapat sesuai dengan keinginannya, anda juga  berhak untuk menjalani hidup sesuai dengan keinginan anda. Ini hidup anda, maka anda berhak menentu jalannya. 


Ya, melepaskan seseorang yang kita cintai dan menerima bahawa dia tidak lagi ingin bersama (meneruskan hubungan) memang menyakitkan. Tetapi, percayalah. Luka di hati akan sembuh. Masa akan merawat dan menyembuhkan segala kesakitan itu.

Ingatlah, sebelum anda dan dia bercinta, anda pernah menjalani hidup tanpa dirinya. Jadi tiada beza sekarang. Anda hanya perlu kuatkan hati dan melangkah penuh yakin bahawa di hadapan anda ada kebahagiaan lebih baik menanti.

About author

Articles

Berusaha menulis dari hati, dengan harapan anda yang membaca puas hati. Jika anda rasa tulisan saya ini bermanfaat, silakan kongsi dan sebar luaskan kepada kenalan anda. Terima kasih.
Related posts
Inspirasi

Ramadan Di Rantau Orang, Ini Kelebihan Berpuasa Di Luar Negara

Penulis: Khairolizam Muhaidi Tidak dinafikan bahawa bulan Ramadan akan membuatkan percikan rindu…
Read more
Inspirasi

7 Kata-kata Emas Dan Motivasi Jack Ma Kepada Anak Muda

Jack Ma dan kata-katanya. Tidak pernah berhenti memukau. Setiap butir kata lelaki terkaya China ini…
Read more
Inspirasi

Ana Balqis Menulis: Teruja Jadi Penyelamat?

Kes 1 Nisha (20-an akhir) ditinggal teman lelaki. Tiada kata yang boleh menggambarkan kekecewaan.
Read more

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *