Inspirasi

Perlukah Simpan Sakit Hati Sampai Mati?

Bertahun simpan sakit hati, pendam hingga menjadi dendam kesumat. Apa yang kita dapat? Kepuasan? Puas dapat pendam sampai mati?

Pernah simpan perasaan sakit hati kepada seseorang? Atau ada pengalaman berdepan dengan orang yang sakit hati kepada kita hingga dengar suara pun sudah berasa geram, marah dan benci?

Saya sendiri bagaimana?

Ya, saya mengakui pernah ada pengalaman sakit hati yang sangat kepada seseorang. Bertahun simpan, tidak sudi bertemu muka apatah lagi duduk bersembang sama. Kalau boleh, sampai bila-bila pun tidak mahu sebut namanya. Terkenangkan perbuatannya, boleh buat saya hilang semangat seharian.

Begitulah penangan sakit hati kepada seseorang. Lama juga saya ambil masa untuk menjadi manusia sedar diri dan waras. Sedar bahawasanya, satu perbuatan sia-sia apabila saya terus gigih menyimpan rasa sakit hati bertahun lamanya. Apa gunanya? Apa manfaatnya kepada diri saya?

Tiada.

Sekadar hanya membela ego diri, memberi kepuasan kepada hati sendiri. Kononnya, itulah tindakan terbaik saya kepada orang yang telah menyakiti hati saya. Saya lupa, itu semua sia-sia belaka.

Baca juga: Hati Akan Sakit Jika Dipaksa

Sampai bila mahu sakit hati?

Benar, perasan saya terluka dan sakit apabila dikhianati. Tetapi membalas perbuatan itu dengan menyimpannya lama-lama di dalam hati hanya mendera perasaan sendiri.

Hakikatnya, saya tidak dapat apa-apa manfaat daripada tindakan itu. Hanya satu tindakan yang membesarkan ego diri.

Ya, benar… Kita semua ada ego dan harga diri yang perlu dipertahankan. Tetapi, menyimpan sakit hati hingga berubah menjadi benci dan musuh bukanlah satu tindakan baik buat diri juga orang lain.

Ya, betul, orang lukakan perasaan kita jadinya memang wajarlah kita berasa sakit hati. Pun, sampai bila mahu simpan rasa sakit itu dalam hati kita?

Rasa sait hati dan kecewa yang kita simpan bertahun lamanya boleh berubah menjadi luapan perasaan yang nantinya tidak mampu kita kawal. Misalnya, daripada sakit hati berubah menjadi benci dan dendam.

Sejujurnya, saya tidak mahu menjadi seorang pendendam. Saya tidak bersalah. Mengapa saya biarkan diri berubah menjadi seorang yang pembenci dan pendendam?

Dan saya sedar, saya perlu bunuh perasaan itu. Saya tidak boleh berterusan menyimpan rasa sakit hati itu lama-lama dalam hidup saya. Saya harus move on.

Baca juga: 19 Cara Bina Keyakinan Diri

Merawat hati

Suatu hari, saya terbaca kata-kata ini; “I forgive people, but that doesn’t mean I accept their behavior or trust them. I forgive them for me, so I can let go and move on with my life.”

Kata-kata itu bagaikan batu yang dibaling tepat ke kepala saya (hihihi…), buat saya sedar daripada lena yang panjang. Ya Tuhan, betapa kejamnya saya kerana menyimpan ‘sampah’ yang busuk dalam hati saya.

Sakit hati itu saya simpan bertahun lamanya hingga membusuk dan merosakkan sekepal hati ini.

Saya juga terbaca tulisan berkaitan hati ( di sini ) yang antaranya menjelaskan;

Kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan kepada sang Penciptanya dalam setiap keadaan.

Selain itu, hati atau jantung ini merupakan salah satu organ yang penting di dalam badan atau jasad manusia kerana ia akan menentukan sama ada baik atau buruknya jasad (akhlak) seseorang itu sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam sebuah hadith:

Daripada Nu’man bin Basyir berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).” (Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599))

Hari itu, saya segera buat solat taubat dan nekad untuk memaafkan siapa sahaja yang telah secara sengaja atau tidak membuat saya sakit hati.

Perlukah Simpan Sakit Hati Sampai Mati?
Rawatlah sakit di hati, usah biarkan rosak tanpa kita sedari.

Enam cara rawat sakit hati

Pada hari sama hingga ke hari ini, saya berusaha lakukan enam (6) perkara ini;

Muhasabah diri

Perbaiki kelemahan dan terima kekurangan diri sendiri. Kita manusia biasa, tidak lepas daripada berbuat khilaf dan melakukan kesilapan.

Buang sifat marah dan keras hati

Apabila sedang marah, adakala kita cenderung bertindak tanpa pertimbangan akal waras. Syaitan suka ‘menggoda dan menghasut’ orang yang sedang marah. Jadi, bertenanglah dan banyakkan beristighfar. Insya-Allah, amarah dalan hati akan mereda dengan sendirinya.

Memaafkan

Orang yang kuat hatinya cepat memaafkan dan sentiasa berusaha memaafkan siapa sahaja pada bila-bila masa. Kita ini hanya hamba-Nya yang kerdil dan pendosa, siapalah kita untuk bersikap sombong, ego dan tidak mahu memaafkan kesilapan orang lain?

Bersangka baik (husnuzon)

Kata Saidina Umar bin Al‐Khattab ra :

“Jangan kamu membuat sangkaan terhadap satu kalimah yang keluar daripada seorang saudara mukminmu kecuali kebaikan selagi kamu masih ada cara untuk meletakkannya di tempat yang baik”.

Jauhkan rasa iri hati dan dengki

Perasaan iri hati dan dengki hanya memakan diri. Hati tidak tenang, hidup tidak aman. Membuat hati jauh daripada berasa syukur atas segala nikmat Tuhan.

Ikhlas kesilapan yang berlaku

Memang sukar dan berat untuk lakukan hal yang satu ini, tetapi kalau kita berusaha buat dengan niat kerana ingin redha Allah, pasti akan dipermudahkan-Nya.

Setiap ujian dan dugaan itu untuk menguatkan keimanan juga ketaqwaan kita kepada-Nya. Bersabarlah dan ikhlaskan setiap kesulitan serta kesakitan yang kita tempohi sebelum ini.

Secara peribadi, saya setuju, memaafkan perbuatan seseorang yang telah melukakan dan membuat kita sakit hati bukan perkara mudah. Apatah lagi untuk mengikhlaskan semua perbuatannya itu.

Dan untuk saya, saya memaafkan dan mengikhlaskannya demi ketenangan hati juga hidup saya sendiri. Saya mahu hidup dengan tenang, aman dan bahagia.

Ya, hal yang menyakitkan itu sukar untuk kita lupakan. Memaafkan bukanlah bermaksud kita perlu terima orang itu dalam kehidupan kita sekarang dan akan datang.

Begitu juga saya. Dan saya memaafkan kerana tidak mahu ada apa-apa kaitan lagi dengan individu itu pada depan. Cukuplah apa yang telah berlaku dan dilakukannya. Urusan saya dengan dia sudah selesai, selebihnya saya serahkan kepada Tuhan Yang Maha Bijaksana.

Baca juga: 5 Sebab Gagal Lepaskan Cinta Lama Dan Move On

About author

Articles

Just limited edition creative writer.
Related posts
Inspirasi

Ramadan Di Rantau Orang, Ini Kelebihan Berpuasa Di Luar Negara

Penulis: Khairolizam Muhaidi Tidak dinafikan bahawa bulan Ramadan akan membuatkan percikan rindu…
Read more
Inspirasi

7 Kata-kata Emas Dan Motivasi Jack Ma Kepada Anak Muda

Jack Ma dan kata-katanya. Tidak pernah berhenti memukau. Setiap butir kata lelaki terkaya China ini…
Read more
Inspirasi

Ana Balqis Menulis: Teruja Jadi Penyelamat?

Kes 1 Nisha (20-an akhir) ditinggal teman lelaki. Tiada kata yang boleh menggambarkan kekecewaan.
Read more