Inspirasi

Kesederhana Sugu Pavithra Pikat Hati Penonton YouTube

Kredit foto utama: Bernama

Ya, tuah ayam nampak di kaki. Tuah manusia tiada siapa yang tahu. Barangkali ada segelintir yang berpendapat, kandungan video dikongsi seperti biasa-biasa sahaja. Pun, siapa sangka mampu mencetus fenomena hingga menjadi tular sekelip mata. Benarkah ini semua hanya kerana tuah?

Sejak sekian lama, sudah terbukti dunia masakan mampu menyatukan hati dan hubungan. Baik dalam keluarga, negeri mahupun negara. Jadi, tidak hairanlah apabila nama Sugu Pavithra menjadi sebutan di media sosial gara-gara video masakannya berjaya pikat hati penonton di YouTube khususnya rakyat Malaysia.

Kemunculan mereka yang ‘serba biasa’ di saluran kegemaran ramai itu berjaya menyatukan hati rakyat Malaysia, malah turut mendapat perhatian memberangsangkan daripada penonton di Jepun dan United Kingdom.

Penampilan S.Pavithra dan M.Sugu yang sederhana dengan pengisian video berkaitan masakan bukan sahaja berjaya memenangi hati penonton di YouTube, tetapi memberi kesan positif kepada perpaduan kaum. Pada masa sama memperkenalkan keunikan cita rasa makanan kita kepada negara luar.

Baca juga: Cikgu Ina Tidak Kedekut Kongsi Resipi

Pasangan suami isteri ini sendiri tidak menyangka, video tutorial masakan mereka di saluran itu mendapat perhatian warganet termasuk perhatian khas daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang memberi ucapan tahniah bersama beberapa hadiah termasuk tripod (pemegang kaki tiga) sebagai tanda sokongan dan perangsang.

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana secara tiba-tiba begitu ramai pengguna melanggan saluran YouTube kami sedangkan kami sangat baru, masih banyak kekurangan dalam kandungan video yang perlu kami perbaiki,” kata S Pavithra, 28, (seperti dipetik daripada laporan Harian Metro).

Kongsi dari hati

Bermodalkan telefon pintar yang dibeli secara bayaran ansuran, pasangan Youtuber ini berkongsi rakaman video masakan kegemaran keluarga mereka sejak Januari lalu. Manakala perkakasan yang digunakan untuk kandungan video hanyalah periuk, kuali dan sudip biasa. Barang yang memang sedia ada di rumah dan gunakan setiap hari, tiada peralatan canggih.

Dalam setiap kandungan video mereka, penonton bukan sahaja tertarik dengan cara dan tip memasak yang ditunjukkan. Malah, kagum melihat kemesraan mereka ketika masak bersama. Dapat dilihat, apa yang mereka kongsikan tulus dari hati,

M Sugu, 29, yang agak pemalu dan sering diusik isterinya kelihatan tidak kekok membantu kerja-kerja di dapur. Kemesraan pasangan ini bersama dua anak mereka juga menarik perhatian ramai. Tidak hairanlah mengapa mereka berjaya menambat hati penonton.

Lebih menarik lagi, walaupun Pavithra berbangsa India, dia ambil inisiatif hasilkan video dalam bahasa Malaysia. Dan cara ini pastinya memberi banyak kelebihan kerana perkongsi itu dapat difahami lebih ramai penonton di negara ini, sekali gus melanggan saluran pasangan suami isteri itu.

Baca juga: Kelas Fotografi Online Serlahkan Kreativiti

Usaha Sugu Pavithra Berjaya Pikat Hati Penonton YouTube

Kejayaan dan keberuntungan M Sugu dan S Pavithra adalah satu daripada ribuan kisah yang pastinya menjadi sumber inspirasi yang akan menyuntik semangat ramai. Apa yang dikecapi pasangan ini mungkin kebetulan, tetapi kita tidak dapat menafikan segala usaha yang diberikan disebalik semua itu.

Baca juga: 17 Sebab Mengapa Cepat Putus Asa Capai Impian

Tanpa usaha dan kesungguhan, tidak mungkin mereka menikmati apa yang terbentang di depan mata ketika ini. Daripada hanya beberapa ratus, kini meraih 587 ribu (kiraan setakat ini) melanggan saluran ‘Sugu Pavithra’. Bukan mudah untuk menambat hati penonton di saluran itu. Ini satu pencapaian peribadi yang sangat mengkagumkan.

Nyata, tiada usaha yang sia-sia. Dan mereka sudah pun membuktikannya. Kita, bila lagi? 

11 Fakta Menarik

  • Saluran YouTube ‘Sugu Pavithra’ adalah kolaborasi S Pavithra (isteri) bersama suaminya M Sugu.
  • Pasangan bersama dua anaknya ini tinggal di kuarters ladang swasta di Sungai Siput.
  • Resipi dan tutorial memasak pertama dikongsi adalah ‘Bakat Ikan Talapia Cara Mudah Dan Sedap’.
  • Perkakasan yang digunakan untuk kandungan video hanyalah periuk, kuali dan sudip biasa. Barang yang memang sedia ada di rumah dan gunakan setiap hari, tiada peralatan canggih.
  • Dalam setiap video yang dikongsi, Pavithra lebih banyak bercakap berbanding suaminya yang pemalu.
  • Sejak tular, mereka banyak menerima sumbangan berbentuk bahan mentah dan rempah ratus untuk tutorial masakan seterusnya.
  • Selepas sebulan bersiaran, saluran mereka meraih 10 ribu langgan penonton dan menerima emel daripada YouTube untuk menjadi Rakan YouTube sekali gus membolehkan mereka memperoleh pendapatan sampingan bulanan dengan bayaran mengikut dolar Amerika Syarikat (AS).
  •  Keluarga, jiran, rakan dan pelanggan sentiasa memberikan idea mengenai menu masakan seterusnya untuk dihasilkan dalam video.
  • Setakat ini, terdapat 74 video (62 kandungan video masakan) yang dihasilkan di saluran mereka.
  • Penonton Jepun turut mencuba resipi yang dikongsi Sugu Pavithra.
  • Perkakasan memasak juga dapur yang kelihatan kemas dan bersih mendapat perhatian warganet.
Related posts
Inspirasi

"Wow! Cantik Sangat Kek Marble Ni. Sayang Nak Potong."

Sekali pandang, Kek Marble Jelita ini bagaikan bantal hiasan empuk. Indah diserikan bunga ros…
Read more
Inspirasi

19 Langkah Bangkitkan Keyakinan Diri

Tanpa keyakinan, perkara kecil dan mudah sekalipun kita tidak mampu lakukannya. Dan, kadangkala kita…
Read more
Inspirasi

7 Kata-kata Emas Dan Motivasi Jack Ma Untuk Pemula

Jack Ma dan kata-katanya. Tidak pernah berhenti memukau. Setiap butir kata lelaki terkaya China ini…
Read more

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *