Gaya Hidup

Hikmah Disebalik #PKP, Terima kasih Tuhan

Kredit foto: regenhealthsolutions.info

Banyak yang kita tidak tahu jika enggan ambil peduli, walaupun hal itu berlaku setiap hari di sekeliling kita. Sepanjang hidup bersama isteri, Suriya, rupa-rupanya banyak perkara yang saya abaikan. Senang cakap, ambil mudah.

Alhamdulillah, besar sungguh pengajaran yang saya dapat sepanjang menjalani kehidupan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ( #PKP )untuk mengekang penularan Covid 19. Jika tidak kerana terpaksa duduk di rumah hampir tiga bulan, mungkin saya tidak dapat melihat hikmah disebalik #PKP. Terima kasih Tuhan, syukur atas segala nikmat dan rahmat-Mu yang tiada tara.

Sepanjang berkahwinan saya dengan Suriya (bukan nama sebenar), saya tidak pernah ambil tahu betapa penatnya dia mengurus rumah tangga dan menjalani hidup bersama lima orang anak kami.

Saya fikir, jaga anak dan mengurus rumah tangga kerja biasa dan mudah. Apatah lagi dia hanya suri rumah sepenuh masa, apalah yang penat sangat. Sepanjang 24 jam hanya di rumah, tidak perlu bekerja keras di luar seperti perempuan bekerjaya lain. Itulah pemikiran saya selama ini.

Pun, segalanya berubah apabila saya melihat sendiri bagaimana setiap hari Suriya mengurus keperluan anak-anak dan rumah. Setiap pagi, sebaik sahaja selesai solat Subuh, dia sibuk di dapur.

Sambil masak sarapan, dia mesin baju yang menimbun. Pada masa sama, dia men gemas barang mainan anak-anak yang bersepah di sana, sini.

Siap memasak, Suriya jemur semua pakaian dan menyiram tanaman di dalam pasu yang bergantungan di beranda dapur. Macam-macam jenis pokok ditanamnya. Ada sayur sawi, kangkung, daun kesom, serai, daun ketumbar, cili, daun kari dan lain-lain (maaf, saya tidak tahu apa namanya hihihi).

Macam Lipas Kudung

Selesai kerja di dapur, dia ke ruang tamu, mengemas. Lantai divakum penuh teliti, kemudian dimop. Licin berkilat dan wangi. Saya hanya memandang dari sofa sambil membaca berita secara online di telefon bimbit.

Habis mengemas, Suriya masuk ke dapur semula. Dia menatang sarapan ke ruang makan. Aduhhh… Harumnya aroma Bihun Goreng dan Karipap kegemaran saya menusuk ke hidung.

Jam 8.30 pagi, anak-anak dikejutkan untuk mandi. Alhamdulillah, anak-anak tidak liat bangun pagi. Mungkin sudah terbiasa ban gun awal untuk ke sekolah dan tadika. Hanya bayi kami yang berusia sembilan bulan masih lena.

Siap berpakaian, anak-anak duduk di meja makan. Begitu juga saya, Suriya pula tidak makan bersama. Selepas melayani kami makan, dia masuk semula ke dapur menyediakan bubur nasi buat si kecil.

Jam 9.30 pagi, si bongsu pun bangun. Segera dimandikan dan disuap makanan. Suriya ceria melayan kerenah anak-anak, raut wajahnya tidak nampak tanda-tanda kepenatan.

Selesai mengemas meja makan, barulah saya nampak dia duduk dan makan. Melihat Suriya makan sendirian, hati ini berasa kasihan dan sangat bersalah.

5 Cara Berkesan Bantu Emosi Lebih Segar Sepanjang #PKP

Hikmah Disebalik #PKP
Kredit foto: myrecipes.com

Hikmah Disebalik #PKP

Jam 11 pagi, Suriya sudah sibuk di dapur semula. Memasak pula untuk makan tengah hari. Pada masa sama melayan si bongsu yang merengek. Sudahnya, sambil memasak dia mendukung si kecil itu.

Siap memasak, dia bawa anak-anak masuk ke bilik bacaan. Oh, dua anak kami ada kelas latihan secara online bersama guru mereka.

Hampir dua jam mereka berkurung di dalam bilik itu, keluar sahaja dari bilik, Suriya terus menghidang makanan tengah hari. Ada Kurma Ayam, Sayur Kangkung Goreng Belacan, Telur Dadar dan tembikai untuk pencuci mulut.

Saya dan anak-anak makan, sementara Suriya menyuap si bongsu. Saya perhatikan, dia selalu makan sendirian. Apabila diajak makan bersama, katanya makanlah dahulu.

Selesai solat Zohor, pakaian dijemur diangkat dan dilipat satu-persatu. Bukan sedikit pakaian yang perlu dilipat, tetapi Suriya nampak begitu tekun melakukannya. Setiap lipatan kemas dan tersusun rapi.

Barulah saya sedar, sepanjang perkahwinan kami, tidak pernah sekali pun saya membantunya melipat pakaian termasuk baju sendiri. Semuanya Suriya yang buat.

Begitu juga hal mengurus anak-anak di rumah, semuanya ibu mereka yang lakukan sendiri. Tidak pernah sekali pun saya membantu Suriya memandikan anak, atau sekadar buatkan susu. Ya Tuhan, teruknya saya.

Sebaik sahaja selesai melipat pakaian dan menidurkan si bongsu, Suriya masuk ke dapur semula. Siapkan hidangan minum petang. Saya dengar anak-anak minta ibu mereka buat kuih donat dan air Milo ais.

Aduhai… Kasihannya isteriku, dari pagi hingga ke petang tidak duduk diam. Ada sahaja yang perlu dilakukannya, sedangkan saya hanya duduk menonton TV dan melayan media sosial.

Hikmah disebalik #PKP ini, saya dapat lihat betapa sibuknya isteri mengurus anak dan rumah tangga. Semua dilakukannya sendiri tanpa meminta pertolongan saya. Tidak juga dia merungut atau membentak dek kepenatan.

Hubungan: Bongkar 5 Rahsia Berkesan Kunci Hati Pasangan

Dari Pagi Hingga Ke Malam

Solat Isyak sudah, perut pun sudah kenyang. Tetapi, kerja Suriya bagaikan tiada kesudahannya. Anak-anak diajarnya pula mengaji, setiap seorang diberi perhatian dan dibimbing penuh kasih sayang. Aura keibunya begitu terserlah, membuat saya berasa begitu bersyukur dan bertuah.

Manakan tidak, walaupun dia hanya suri rumah sepenuh masa, Suriya masuk kategori perempuan yang serba-serbinya boleh.

Dia pandai memasak (ya, masakannya sedap dan menetapi selera saya juga anak-anak), tangannya sejuk – tanamlah apa sahaja semuanya menjadi, bijak mengurus rumah tangga dan paling penting, boleh mengajar sendiri anak-anak kami membaca Al-Quran.

Dia juga isteri yang taat dan patuh kepada suami, jarang sekali membuat saya marah. Hanya saya sahaja yang tidak pandai menghargai segala kelebihan dan keistimewaannya itu.

Selama ini saya terlalu ambil mudah dan pandang remeh semua kemampuannya itu. Bagi saya, biasa-biasa sahaja. Tiada yang perlu dibanggakan, apatah lagi dia cuma suri rumah sepenuh masa. Tiada kerjaya hebat dan boleh dibanggakan. Padahal saya silap. Ya, silap besar.

Saya salah dalam menilai dirinya. Zaman ini, bukan mudah mencari wanita sepertinya. Dia bukan tidak berpelajaran tinggi, tetapi demi anak-anak dan rumah tangga, dia sanggup korbankan cita-citanya.

Ya Tuhan, selama ini saya buta. Sebagai ketua keluarga, saya tidak nampak kelebihan yang ada pada isteri sendiri. Seorang isteri yang nampak biasa-biasa sahaja, hakikatnya dia sangat hebat. Dia isteri saya dan ibu kepada anak-anak kami.

Sesungguhnya, besar sekali hikmah disebalik #PKP yang menjadi sejarah dalam hidup setiap kita. Terima kasih Tuhan kerana telah membuka mata saya untuk melihat kehebatan dan kelebihan isteri sendiri.

Saya bersyukur kerana memiliki Suriya dan anak-anak tentunya bertuah kerana mendapat seorang ibu yang hebat. Menyayangi dan mampu membimbing mereka penuh kasih sayang.

Terima kasih Tuhan atas kurniaan-Mu yang amat besar kepadaku.

Isteriku sayang, maafkan Abang kerana memandang remeh pengorbananmu selama ini.

Nukilan hati, suamimu, Rashid (bukan nama sebenar).

Related posts
Gaya Hidup

Resipi Kuey Teow Daging Mesti Cuba

Anda penggemar Kuey Teow? Tetapi sudah biasa makan Kuey Teow Sup, Hailam atau Ladna? Bosan dan mahu…
Read more
Gaya Hidup

Anak Selalu Tantrum? 5 Cara Elak Anak Mengamuk

Benar, cuba menenangkan anak yang sedang menjerit dan mengamuk tanpa henti bukan mudah. Anak…
Read more
Gaya Hidup

Ini 7 Rahsia Pikat Pasangan Yang Mesti Anda Cuba

Hubungan yang kekal harmoni, bahagia dan penuh kasih sayang pastinya menjadi harapan serta…
Read more

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *