Gaya Hidup

Hubungan: Bongkar 5 Rahsia Berkesan Kunci Hati Pasangan

Everlasting love. Berjaya kunci hati pasangan hingga ke hujung usia, siapa yang tidak mendambakannya, bukan.

Ketika bercinta, asmara membara. Selepas berumahtangga, jangan pula berasa selesa. Perasaan ada pasang surutnya, mesti dijaga sentiasa agar kekal harmoni dan bahagia selama-lamanya. Mahu tahu rahsia kunci hati suami dan isteri?

Everlasting love, siapa yang tidak mendambakannya, bukan. Benarkah ada cara dan rahsia berkesan untuk kunci hati pasangan agar setia berkasih sayang hingga ke hujung usia? Mustahil dan tidak mustahil. Pokok pangkalnya, di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan.

Satukan dua hati. Kita berusaha, saling memberi kerjasama dan mempunyai misi juga visi jelas dalam hubungan yang dibina. Selebihnya, berdoa dan bertawakal kepada Tuhan. Semoga diberi-Nya kelapangan juga kemudahan.

Menyentuh soal hubungan, cinta, perkahwinan dan kebahagiaan, membuat saya terkenangkan kisah romantis sepasangan suami isteri yang mesra disapa Pak Long dan Mak Long.

Raut wajah Pak Long (75), nampak serius tetapi cukup peramah. Sembangnya sering diselang-seli gurauan yang mencuit hati. Dia cukup suka mengusik Mak Long (63) hingga wanita tersipu-sipu malu.

Dalam pemerhatian saya, walaupun sudah lewat usia, Pak Long tidak segan mempamerkan kemesraan hubungan mereka, hingga menerbitkan rasa kagum di hati saya. Bertuah sungguh Mak Long. Sekali gus membuat saya tambah teruja mahu mencungkil rahsia kebahagiaan dan kerukunan rumah tangga mereka.

Mari saya bongkar beberapa rahsia berkesan kunci hati pasangan yang dikongsi Pak Long dan Mak Long khusus buat pasangan suami isteri.


Bahagian 1: Rahsia kunci berkesan hati pasangan;- Daripada sudut pandangan seorang lelaki dan suami

#5. Kunci perut
“Waktu menikah dengan Mak Long, umurnya baru 16 tahun. Tidak berapa pandai memasak, penampilan diri pun biasa saja. Tetapi, empat bulan lepas hidup bersama, Mak Long menunjukkan perubahan sangat ketara.

“Selepas solat Subuh, dia (Mak Long) tak pernah sambung tidur. Dia sibuk di dapur, entah apa yang dibuatnya Pak Long tak pernah ambil tahu. Sebaik saja bangun tidur, sarapan tersedia di atas meja. Mula-mula Pak Long sangka dia beli di kedai, jadi tak pernahlah puji makanan yang dihidangkan.

“Satu hari, dia hidang semangkuk gulai kambing (Kari Kambing). Pak Wan memang suka sangat gulai. Hari itu Pak Long tak jamah lauk lain, seronok gaul nasi dengan gulai kambing tu dan sambal belacan. Ya Tuhan, sedap sungguh.

“Macam biasa, Pak Long fikir dia beli di kedai. Dua hari selepas itu jiran kami yang berbangsa India bertanya, sedap ke gulai kambing yang Mak Long masak. Pak Long terkejutlah. Tak sangka, Mak Long masak sendiri gulai tu. Hari itu, sebakul Pak Long puji dia… Ha.. Ha.. Ha…

“Sejak hari itu, macam-macam jenis lauk kegemaran Pak Long dimasaknya. Rupa-rupanya, dia bangun pagi sebab pergi belajar memasak dengan jiran. Dia tahu Pak Long suka makan gulai Terharu betul dan sampai sekarang Pak Long tak suka makan di gerai atau restoran. Masakan air tangan Mak Long paling terbaik.”

Teruskan Bongkar 5 Rahsia Berkesan Kunci Hati Pasangan

#4. Kunci mata
“Kamu tengok Mak Long tu lawa ke biasa saja?” soal Pak Long apabila saya tanya rahsia mereka kekal bahagia dan romantis meskipun sudah meniti usia senja. Saya hanya senyum.

“Mak Long mungkin tak lawa mana atau biasa-biasa saja di mata orang lain, tetapi cukup sempurna dan menarik di mata juga hati Pak Long. Walaupun hanya suri rumah dengan lima anak, tetapi bab berpakaian memang Mak Long cukup jaga. Dia sanggup jahit semua kain batiknya, siap berzip dan bersusun terletak. Tengoklah dia bentuk badannya sekarang, tak ‘lari’ sangat dari masa muda dia.

“Baju tidur malam ditukar setiap hari, pendek kata dia tak pernah pakai baju sama. Tuala akan ditukar dua kali seminggu. Bilik tidur dikemas rapi, begitu juga bilik mandi. Bersih dan wangi. Dia faham sangat, Pak Long tak suka tengok rumah berselerak.”

Hubungan: Bongkar 5 Rahsia Berkesan Kunci Hati Pasangan
Kredit foto: goodtoknow.co.uk

“Sepanjang kami hidup bersama, boleh dibilang dengan jari berapa kali kami bertengkar.”


#3. Hidung
“Pak Long masih ingat, dalam berpantang pun, Mak Long tetap berwangi-wangian. Selit bunga melur celah rambut dan tepi bantal. Selepas berurut dan bertungku, dia akan duduk dalam bilik diam-diam. Keluar saja bilik, harum semerbak baunya dengan rambut disisir rapi dan diikat kemas. Aduhai… Sejuk mata memandang, terus tergoda dibuatnya.

“Pak Wan ni alah sikit dengan bau minyak angin dan ubat, rasa tak selesa kalau terbau. Sampai sekarang pun masih begitu dan Mak Long memang sangat memahami. Jadi, dia cukup jaga sebab takut Pak Long pening atau termuntah,” cerita Pak Long sambil ketawa besar, Mak Long di sisi hanya tersenyum melihat gelagat suaminya itu.

“Oh ya, satu lagi Mak Long ni pembersih orangnya. Kalau masuk dapur, susah nak jumpa timbunan sampah atau pinggan kotor dalam singki. Apa tidaknya, tengah memasak dia ligat cuci segala pinggan mangkuk. Perut ikan atau kulit ayam direbus dahulu sebelum dibuang di dalam tong sampah. Jadi, kalau dibongkar dek kucing tidaklah berbau busuk sangat.”

#2. Kunci mulut
“Paling bertuah, Pak Long bersyukur sebab dapat isteri yang tak banyak mulut. Mak Long ni lebih banyak mendengar daripada bercakap.

“Kalau dia marah, dia akan sembunyikan diri di dalam bilik. Biasanya Pak Long tak pujuk pun, sebab selepas sejam dua, dia akan ‘pulih’ semula. Terus ke dapur dan buatkan Pak Long kopi. Kami berbalas senyum dan semuanya jadi baik seperti biasa.

“Sepanjang kami hidup bersama, boleh dibilang dengan jari berapa kali kami bertengkar atau berselisih faham. Mak Long ni orangnya mudah sejuk, tak payah susah-susah pujuk dia. Biasanya selepas ‘perang perasaan’ berlaku, Pak Long akan bawa Mak Wan tengok pantai.

“Sejak zaman anak dara, Mak Long cukup suka suasana pantai sambil tengok matahari terbenam. Hmmm… Nasib baiklah rumah kami dekat dengan pantai. Eh, petang ni Mak Long nak ke pantai? Kita tengok Mat Saleh berenang, nak?” usik Pak Long, disambut cubitan manja Mak Long.

Ini 7 Rahsia Pikat Hati Pasangan Yang Mesti Anda Tahu


#1. Kunci telinga
“Mungkin sebab Mak Long tak banyak mulut, jadi telinga Pak Long ni selamat daripada mendengar perkata yang menyakitkan.

“Kebiasaannya, kalau ada perkara yang dia tak puas hati, biasanya kami berbincang selepas solat. Habis berdoa dan masih duduk di atas sejadah, Mak Long akan meluah perasaan atau masalah dia. Apa-apa saja yang dia tak puas hati fasal Pak Long atau anak, dia akan beritahu waktu itu.

“Pernah suatu hari, rumah tangga kami diuji dengan fitnah, waktu itu masuk tahun ke-5 kami hidup bersama. Kononnya Pak Long ada hati dengan perempuan lain. Mak Long dapat cerita itu daripada sepupu dia, kebetulan perempuan yang dikaitkan itu ada bau bacang dengan Pak Long.

“Alhamdulillah, Mak Long tak mengamuk apabila dengar cerita itu. Satu malam, selepas solat Isyak dia bertanya hal itu. Muka dia nampak tenang, tetapi air matanya buat Pak Long rasa sangat bersalah.

“Malam itu, Pak Long mengaku, memang hubungan kami (dengan wanita itu) rapat, tetapi hanya anggap dia macam adik saja. Prinsip Pak Long, cukuplah Mak Long seorang bertahta di hati sampai mati.

“Syukur Alhamdulillah, tiada sebarang pertengkaran berlaku dan  dia tetap melayan Pak Long seperti biasa. Dia tak pernah sebut atau ungkit hal itu. Sejak itu, Pak Long serik mahu rapat dengan mana-mana perempuan termasuk dengan saudara sendiri.”

“Bagi Pak Long, tiada wanita lain dapat menandingi ketaatan dan kesetiaannya. Sepanjang perkahwinan kami, dia sentiasa berusaha memberi yang terbaik kepada kami sekeluarga. Dia tak banyak meminta, apatah lagi mengungkit. Dia sentiasa bersedia untuk memberi segala-galanya. Dan apa yang Pak Long kongsi, inilah antara rahsia kebahagiaan rumah tangga kami hingga sekarang.”


Memang saya ingin sekali mengabadikan wajah Pak Long dan isterinya di ruangan ini. Sayang sekali, saya harus menghormati permintaan dan menjaga privasi mereka.

Kata Pak Long, memadailah rahsia kunci hanya pasangan yang dikongsinya. Semoga dapat dijadikan panduan hidup kepada pasangan suami isteri lain.

Terima kasih Pak Long dan Mak Long. Kita sambung lagi di bahagian kedua – Ini 5 Rahsia Berkesan Kunci Hati Pasangan Hingga Hujung Usia (daripada sudut pandangan seorang wanita dan isteri).

Related posts
Gaya Hidup

Apabila Tiada Lagi Keserasian Dalam Perkahwinan

Bolehkah perkahwinan dapat diselamatkan jika tiada lagi ‘chemistry&#8216…
Read more
Gaya Hidup

Gaya Biru Yang Memukau & Tersendiri

Bosan menyarung busana warna natural? Jika ya, apa kata cuba pilihan persalinan biru. Pastinya gaya…
Read more
Gaya Hidup

Ketupat Daun Palas Resipi Mak

Masuk tahun ke-2 kita bakal berhari raya dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tidak dinafikan…
Read more

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *