“Saat kita memberi khidmat dengan ikhlas, kita akan bahagia. Sebab, jiwa kita manusia ni memang Allah cipta begitu. Dengan memberi kita akan dapat 10 kali ganda daripada apa yang kita berikan. Bahagia dan membahagiakan.”
Demikian pesanan yang pernah diberikan Pakar Motivasi terkenal, Datuk Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah(DMFK), mengenai rumah tangga bahagia.
Ya, rasa bahagia itu masuk ke dalam hati apabila kita memberi kebahagiaan kepada orang lain. Ia berlaku secara semula jadi kerana kita melakukannya dengan ikhlas, penuh kasih sayang. Dan Tuhan akan membalasnya dengan ganjaran yang tidak terfikir dek akal waras kita.
Ganjaran luar biasa yang mana semua orang mahu, tetapi sering kali terlepas pandang. Misalnya, mahu orang lain membahagiakan hati kita. Tetapi, kita tidak melakukannya terlebih dahulu.
Begitulah halnya dalam kehidupan berumahtangga. Rumah tangga kekal bahagia hingga ke akhir hayat memerlukan usaha berterusan. Suami dan isteri saling memberi kebahagiaan. Seikhlas hati, demi kebahagiaan yang ingin dikecapi bersama.
Sayangnya, kehidupan berumahtangga tidak terlepas daripada ujian dan dugaan. Pun begitu, andai mahu cinta dan asmara bernafas seiringan, pastikan mental serta fizikal saling mencintai.
11 Petua Rumah Tangga Kekal Bahagia Hingga ke Akhir Hayat
Mampukah rumah tangga kekal bahagia hingga ke akhir hayat?
Inilah antara persoalan bagi pasangan suami isteri mahupun individu yang belum berkahwin. Boleh bahagia atau tidak?
Jika bahagia sekarang, akan berterusan hingga ke akhir hayatkah kebahagiaan itu?
Bahagia itu mahal. Ia tidak dapat dikecapi tanpa usaha juga kerjasama. Bersikap ego dan hanya mengharapkan hanya sebelah pihak memberi semua yang kita inginkan, tidak akan membawa apa-apa makna.
Cinta yang asalnya kembang mekar akan layu. Kasih sayang boleh hilang, lenyap tanpa sedar. Memiliki rumah tangga yang bahagia dan kekal hingga ke Syurga perlu penjagaan sebaik mungkin.
Bak kata pepatah, yang bulat tidak akan bergolek, yang pipih tidak datang melayang.
11 petua berikut ini mungkin dapat membantu suami isteri agar jalinan cinta dan kasih sayang dalam rumah tangga subur sepanjang usia.
Bagaimana Personaliti Ibu Bapa Bentuk Peribadi Anak Lebih Penyayang & Bertanggungjawab?
1. Terus berkasih sayang
Semakin hari bertambah sayang. Ini ‘baja’ paling baik untuk melanjutkan usia percintaan anda. Sayangnya, segelintir pasangan suami isteri leka dan bersikap sambil lewa setelah hati serta jiwa pasangan berjaya ditawan.
Bagi mereka, apa yang perlu ditakuti. Kini percintaan mereka berada di zon selesa, tidak perlu lagi berusaha mengukuhkan ikatan perasaan.
Ini tanggapan yang salah!
Jangan sesekali mengabaikan perasaan pasangan, sebaliknya terus berusaha untuk saling menyuburkan kasih sayang agar cinta kalian tetap utuh hingga ke Syurga.
2. Peka dan prihatin
Perasaan adalah gelombang jiwa yang selalu mengalami perubahan. Jadi, jangan berhenti untuk saling mengenali hati, jiwa dan emosi. Usia percintaan tidak semestinya seiring dengan pengetahuan anda mengenai diri pasangan.
Ada pasangan yang bertahun-tahun bercinta, namun masih kerap bertengkar. Harus peka dan prihatin dengan sikap dan kehendak pasangan bagi mengelakkan persengketaan.
3. Saling percaya
Sikap saling mempercayai adalah perisai utama yang melindungi cinta daripada sebarang ancaman. Jaga dan hargai kepercayaan pasangan anda. Jangan bersikap sambil lewa kerana kesannya amat buruk.
Saling memberi percaya, Insya-Allah, semua keraguaan dalam hati akan hilang. Berdoa kepada-Nya agar sentiasa melindungi hati daripada fitnah dan prasangka buruk.
4. Beri ruang
Perasaan curiga, cemburu, kecewa dan perubahan sikap pasangan adalah antara ujian dalam mengekalkan keharmonian hubungan pasangan suami isteri.
Tangani ujian ini dengan rasional seperti berbincang, memberi ruang dan peluang untuk saling meluahkan perasaan atau pendapat.
Paling penting, kawal emosi sebaik mungkin dan beri perhatian sepenuhnya ketika pasangan bercakap atau meluahkan perasaannya. Ambil berat isu yang dibangkitkan.
Teruskan membaca 11 Petua rumah tangga hingga ke akhir hayat
5. Hargai pasangan
Jangan malu atau simpan dalam hati perasaan cinta dan kasih sayang kepada pasangan. Ungkapan istimewa ini mustajab untuk menunjukkan cinta dan penghargaan kepada pasangan sepanjang hidup bersama.
Lebih bermakna jika saling melafazkan cinta, kasih sayang, rindu juga penghargaan tanpa mengira waktu. Pandai mengambil hati pasangan adalah rahsia kejayaan cinta kekal sepanjang usia.
6. Kejutan
Cinta perlu dijaga sebaiknya bagi menyemarakkan api asmara. Lakukan kejutan bagi mengusir rasa jemu pada hubungan cinta yang semakin lesu dan tepu. Misalnya, merancang percutian istimewa bersama pasangan secara rahsia atau ambil bahagian dalam hobi pasangan.
Pasangan pasti terharu melihat usaha anda dan tidak mustahil dia turut menghargai dengan cara sama.
7. Kongsi impian
Saling muafakat dan berkongsi impian adalah kaedah berkesan untuk menyakinkan pasangan bahawa cinta kalian berpaksi pada titik sama.
Selain tahu dengan jelas matlamat yang mahu dicapai dan berusaha merealisasikannya demi destinasi cinta yang lebih kukuh.
“Kata orang tua-tua, suami itu macam nyawa isteri. Apa-apa yang kita hendak buat dan ke mana kita hendak pergi perlu ada suami. Baru rasa selamat, baru rasa bahagia. Kalau berjauhan dengan suami terasa hilang semangat. Demikian jugalah perasaan yang sepatutnya ada dalam hati suami terhadap isterinya. Perasaan saling mengingati antara suami isteri itu akan menyemarakan lagi rasa cinta dan kebahagiaan rumah tangga.” – Datuk Prof Dr. Muhaya Mohamad
8. Saling menghormati
Cinta dan perkahwinan bukan kunci pada semua perkara yang perlu diketahui daripada pasangan. Tidak semua perkara, rahsia atau peristiwa harus ada dalam pengetahuan kita.
Beri ruang peribadi kepada pasangan dan hormati hak peribadi pasangan amat penting agar kita mahupun pasangan berasa selamat juga selesa.
9. Sokongan emosi
Rumah tangga aman dan bahagia mendapat sokongan emosi yang berterusan sepanjang hidup bersama.
Saling memuji dan menghargai adalah pemangkin terbaik agar emosi sentiasa sihat serta positif demi kelangsungan cinta.
Beri pujian kepada pasangan jika dia berjaya mencapai sesuatu yang membanggakan atau melakukan perkara terbaik untuk hubungan.
Cabaran 30 Hari Eratkan Hubungan Suami Isteri
10. Pelengkap sempurna
Jadilah pendamping sempurna dalam hidup pasangan. Lengkapkan diri anda dengan kemahiran berkomunikasi agar boleh menjadi teman berbual dan sahabat tempat berkongsi segala suka duka.
11. Terima pasangan seadanya
Dalam kehidupan berumahtangga, ujian datang dalam pelbagai bentuk dan cara.
Bersedialah menerima pasangan seadanya. Usahlah memaksa atau mengubah pasangan menjadi individu lain. Pandang kekurangannya dari sudut positif, anggap satu kelebihan yang unik.
Jika pelu mengubah pasangan (dari segi sikap atau kebiasaannya), lakukan secara berperingkat dan pastikan pasangan selesa dengan setiap langkah yang dicadangkan.
Jika usaha belum berhasil, jangan merunggut atau mengungkit. Ini membuat pasangan tidak selesa dan tertekan. Paling penting, tetapkan niat. Ikhlaskan setiap perbuatan.
Ada dapat sesuatu daripada tulisan ini? Semoga rumah tangga setiap pasangan berkahwin kekal bahagia hingga ke Syurga.