Seronok dan teruja apabila mendengar seseorang dapat berbahasa Inggeris dengan baik dan lancar. Sedangkan kita, sebaliknya. Aduhai, tentu rasa sedih dan kurang yakinan diri.
Sebelum anda mulai membaca tulisan selanjutnya, sila jawab pertanyaan mudah ini. Anda boleh berbahasa Inggeris? Anda fasih dan mahir berkomunikasi dalam bahasa Inggeris?
Baiklah, andaikan kemampuan bahasa Inggeris anda itu diumpamakan dengan keadaan tangki minyak kereta, di tahap mana paling tepat menggambarkannya? Minyak penuh, 50 peratus, dua (daripada lima) garis paras isi minyak atau isyarat berklip-klip? Atau kering terus?
Manfaat bahasa Inggeris
Adakah anda sering berangan dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan lancar? Atau acapkali berasa rendah diri kerana kurang mahir, selain tidak yakin untuk berbahasa Inggeris di hadapan orang lain?
Kalau anda mempunyai masalah seperti di atas, teruskan membaca tulisan ini hingga ke titik terakhir.
Kemahiran berbahasa Inggeris bukan lagi sesuatu yang bersifat eksklusif. Kita juga sedia maklum, bahasa Inggeris telah diguna pakai sebagai bahasa komunikasi antarabangsa. Jadi, setiap kita seharusnya dapat menguasai bahasa kedua (di Malaysia) ini sebaik mungkin.
Walaupun ramai sedar akan manfaat bahasa Inggeris tetapi masih ramai yang enggan mempelajari bahasa Inggeris. Ada juga yang memberi alasan, berasa kekok dan takut dianggap mengada-ngada apabila berbahasa Inggeris. Hemmm…
“Anyone who stops learning is old, whether at twenty or eighty.” —HENRY FORD
Mari cuba 11 cara cepat belajar Bahasa Inggeris
Hari ini kita semakin sedar, bahasa Inggeris sangat penting khususnya dalam dunia pekerjaan. Ada waktu dan keadaan tertentu, kita perlu berhubungan dan berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris. Jadi, mahu tidak mahu, kita perlu belajar.
Apa-apa juga alasan anda untuk belajar bahasa Inggeris, pastinya ada satu titik persamaan antara anda dan orang lain yang belajar; mahu cepat menguasai bahasa Inggeris. Setuju?
Kalau memungkinkan, belajar dalam tempoh dua atau tiga hari sahaja anda sudah boleh berbahasa Inggeris. Bolehkah secepat itu?
Ya, boleh.
Kenapa tidak?
Kalau ada kemahuan, pasti ada jalannya.
Tetapi…
Bagaimana cara cepat belajar bahasa Inggeris? Bagaimana cara untuk menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan lancar?
Experience is making mistakes and learning from them. – Bill Ackman
Tidak dinafikan, pasti ada cabaran tersendiri dalam usaha menguasai Bahasa Inggeris. Ada segelintirnya, sejak kecil lagi sudah mendapat pendedahan awal dalam berbahasa Inggeris. Ada juga sebaliknya. Kali ini, kami kongsikan cara cepat belajar bahasa Inggeris yang boleh kita cuba bersama.
Ini 11 cara cepat belajar bahasa Inggeris
1. Tonton filem berbahasa Inggeris
Suka menonton filem luar negara atau program TV berbahasa Inggeris? Bagus! Cara cepat belajar bahasa Inggeris yang pertama adalah dengan menonton filem. Apabila menonton filem, kita mendapat dua manfaat sekali gus. Pertama, melegakan fikiran dan menambah kosa kata bahasa Inggeris.
Kita akan lebih peka dan terbiasa mendengar perkataan yang diucapkan. Memahami apa yang kita dengar penting dalam proses belajar bahasa Inggeris.
Sebaiknya, tonton filem itu tanpa bantuan sarikata. Ini akan membantu kita ‘meneka’ maksud perkataan yang terucap di dalam cerita itu. Kesannya, perasaan ingin tahu membuat kita teruja untuk mencari makna perkataan berkenaan.
Kata-kata Emas Dan Motivasi Jack Ma Kepada Anak Muda
2. Jadikan Kebiasaan
“Kita mampu kerana sudah terbiasa.” Ya, memang betul. Mungkin kemampuan menguasai bahasa Inggeris menjadi sesuatu hal yang tidak mudah bagi segelintir orang. Pun begitu, kalau kita sudah terbiasa dengan bahasa Inggeris, tiada lagi perkataan ‘susah’. Semua menjadi mudah, lancar seperti air sungai mengalir.
3. Berbahasa Inggeris setiap hari
Kesan terbaik dan padu pada cara cepat belajar bahasa baru adalah bercakap menggunakan bahasa berkenaan. Terus berlatih (bercakap) dan usaha ini perlulah konsisten. Jangan malas dan bertangguh. Banyak beralasan, akhirnya target tinggal kenangan semata-mata. Rugi.
Bagaimana cara berlatih yang boleh kita lakukan setiap hari? Kita hanya perlu selitkan beberapa perkataan bahasa Inggeris ketika berbual dengan teman sekerja atau sewaktu berkumpul bersama keluarga.
Selain dapat melatih kemampuan bercakap, kita mendidik diri untuk berasa selesa ketika berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Jadi, mari kita tingkatkan sesi latihan. Bercakap menggunakan bahasa Inggeris setiap hari.
No matter what age you are, there’s a lot of room for learning. – Tony Bennett
4. Dengar lagu Inggeris
Biasakan telinga mendengar lagu dalam bahasa Inggeris. Ini satu daripada cara cepat belajar bahasa Inggeris sekali gus menguasainya. Kebanyakan lagu berbahasa Inggeris mempunyai kandungan lirik yang bagus dan sedap didengar. Jadi, manfaatkan cara ini untuk belajar bahasa Inggeris.
Sambil menenangkan diri, kita dapat menghayati alunan nadanya dan meneka setiap baris kata yang diucapkan. Selain dapat menambah pengetahuan kosa kata bahasa Inggeris, boleh membantu melatih kemampuan mendengar.
Amni Dinie, Pelajar.
“Sebagai Pelajar, menguasai bahasa Inggeri sangat penting. Cara cepat untuk saya belajar, banyak dengar lagu Inggeris. Ikut baca lirik, hayat dan ikut menyanyi. Memang sangat membantu, selain mesti rajin berlatih berbahasa Inggeris.”
5. Bawa kamus bersama
Bahasa Inggeris mempunyai banyak kosa kata. Ini juga satu daripada punca yang membuat ramai yang keliru dalam menghafalkannya dan akhirnya enggan belajar bahasa Inggeris.
Sebenarnya tidaklah susah, biasakan bawa kamus bersama pada setiap masa (sama ada kamus sebenar atau aplikasi telefon. Apabila ada masa terluang, misalnya ketika persendirian, seperti sedang duduk menunggu LRT, menunggu rakan atau waktu bersantai bersama secawan kopi, bukalah kamus. Kita boleh belajar 20 hingga 30 perkataan bahasa Inggeris setiap hari menggunakan teknik ini.
Sebagai pelajar baru, mulai dengan kamus bahasa Inggeris yang menyediakan definisi dalam bahasa Malaysia. Apabila kemahiran bahasa bertambah baik, tukar menggunakan kamus English-English.
6. Latihan membaca dan menulis dalam bahasa Inggeris
Membaca membantu merangsang otak sentiasa bekerja dan memperkuat daya ingatan. Pilihlah buku, suratkhabar atau majalah berbahasa Inggeris. Cara ini dapat memperkaya kosa kata bahasa Inggeris kita.
Menulis juga satu dari cara cepat belajar bahasa Inggeris. Secara tidak langsung, otak kita akan merakam perkataan yang ditulis. Maksudnya, cara ini membantu otak ingat perkataan itu lebih jelas lagi. Kita baca dan tulis, ini akan dirakam dengan lebih jelas. Proses menghafal dan memahami menjadi lancar.
Setiap hari, luangkan masa 30 minit hingga sejam untuk menuliskan cerita atau catatan harian menggunakan bahasa Inggeris. Dengan meningkatkan kemahiran membaca, mendengar dan menulis, dapat membantu melihat sejauh mana kemampuan juga pengetahuan kita mengenai kosa kata.
“Nothing will work unless you do.” –MAYA ANGELOU
7. Bergaul dengan orang yang mahir bahasa Inggeris
Pergaulan akan mempengaruhi diri kita. Jadi, untuk cara cepat belajar berbahasa Inggeris sangat penting untuk kita bergaul dengan orang pandai berbahasa Inggeris. Ini cara berkesan untuk memotivasi diri sekali gus menajamkan kemahiran berbahasa Inggeris.
8. Kursus bahasa Inggeris
Mengikuti kursus bahasa bukanlah sesuatu yang janggal. Tidak perlu berasa malu atau rendah diri. Memang sejak dahulu lagi masuk kelas bahasa (kursus) menjadi satu daripada cara cepat belajar bahasa Inggeris. Apatah lagi sekarang, semakin banyak kelas kursus bahasa disediakan. Tinggal pilih sahaja sesuai bajet dan jadual.
Atau, boleh sahaja gunakan cara terkini yang dianggap lebih praktikal. Ya, belajar secara atas talian (online). Misalnya di British Council atau Language Helpers.
Kita hidup di zaman serba moden. Manfaatkan sebaik mungkin. Ada banyak hal bermanfaat dalam Internet dan boleh digunakan sebagai satu daripada cara cepat belajar bahasa Inggeris. Selain banyak laman sesawang yang menawarkan kursus bahasa Inggeris secara online, ada juga bahan belajar secara audio dan visual (misalnya di saluran Youtube).
Fathiha Aini, Guru.
“Saya lebih suka tengok movie, drama, series English atau luar negara. Bila menonton, guna subtitle English bukan bahasa Malaysia. Ulang semula ayat yang diucapkan dalam movie tu. Ikut cara sebutan yang betul.
“Sebelum mula menulis, saya suka Google dulu perkataan yang nak digunakan. Nak tengok kesesuaian penggunaan, maksud dan ejaan yang betul. Bukan sekadar Google Translate. Mesti Google penggunaan perkataan dalam ayat yang betul.
“Pendekatan setiap orang berbeza. Sebaiknya, untuk cepat belajar bahasa Inggeris dan menguasainya, mulai sejak awal usia. Kanak-kanak umur tiga hingga lima tahun paling cepat serap bahasa. Minda mereka macam span.”
9. Berfikir dalam bahasa Inggeris
Latih diri berfikir dalam bahasa Inggeris. Ini satu daripada cara terbaik untuk melatih otak terus menerjemahkan bahasa Malaysia (atau bahasa ibunda lain) ke Bahasa Inggeris.
Setiap bahasa mempunyai nuansa dan keunikan tersendiri yang menjadikannya mustahil untuk menerjemahkan secara tepat dari satu bahasa ke bahasa lain dalam keadaan tertentu.
Kesannya, bercakap dan menulis dalam bahasa Inggeris akan mengalir dengan lebih baik secara semula jadi dan lancar. Fikirkan ia seperti suis – apabila tiba masanya untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, kita tekan ‘suis on‘ untuk bahasa Inggeris dan ‘suis off’ untuk bahasa ibuanda.
Stay positive and happy. Work hard and don’t give up hope. Be open to criticism and keep learning. Surround yourself with happy, warm and genuine people. – TENA DESAE
10. Jangan takut buat kesilapan
Jangan takut membuat kesilapan. Rintangan terbesar yang menonjol dalam pembelajaran bahasa baru adalah rasa takut untuk membuat kesilapan.
Ketakutan ini tidak berguna, hanyalah satu halangan yang menghalang kita daripada mencapai matlamat. Jangan takut dan jangan malu membuat kesilapan.
Pada permulaannya, sudah tentu kita tidak boleh bercakap bahasa baru dengan sempurna. Beranikan diri walaupun sukar. Ingat, semua orang membuat kesilapan ketika mereka sedang belajar – itu perkara biasa.
Ya, kita pasti akan menghadapi perasaan canggung atau memalukan apabila secara tidak sengaja mengatakan sesuatu yang kasar atau tidak betul, tetapi ini adalah sebahagian daripada keseronokan belajar.
Tujuan kita belajar bukan untuk mencapai kesempurnaan, sebaliknya kemajuan dan penguasaan. Membuat kesilapan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran, kesalahan akan membantu kita menjadi lebih baik.
11. Kesungguhan dan semangat
Tanpa kesungguhan, semangat juga misi yang jelas, kita tidak mungkin mampu menyempurnakan 10 cara cepat belajar bahasa Inggeris seperti yang disenaraikan di atas. Jangankan semua tip di atas, bahkan satu pun mungkin tidak terlaksana.
Kata pepatah, dimana ada kemahuan di situlah pasti ada jalan. Pokok pangkalnya, diri kita sendiri. Mahu atau tidak? Bersungguh atau hanya ala kadar?
Jadi, bagaimana? Masih beralasan untuk belajar bahasa Inggeris? Atau masih katakan, “Ah, susahnya nak mahir berbahasa Inggeris?” Pilihan di tangan kita, mahu atau tidak, tentukan sendiri.