Gaya Hidup

4 Tanda Hubungan Suami Isteri Bermasalah

Gambar hiasan

Tidak mungkin sesuatu perhubungan itu sentiasa sihat. Ada masanya berlaku hubungan bermasalah seperti ‘sakit’ dan ‘lemah’. Begitu juga dilalui pasangan suami isteri. Ada waktu tertentub akan diterjah masalah. Baik kecil atau besar. Jadi, mari kita semak apakah 4 tanda hubungan suami isteri bermasalah ?

“Entahlah. Saya rasa suami sudah banyak sejak kebelakangan ni. Kalau ajak keluar bersama, dia tak mahu.

“Bila saya duduk di sebelah, dia macam rimas terutama waktu dia layan Internet atau balas Whatsapp. Apakah hubungan kami bermasalah?” Luah Hasleen (bukan nama sebenar). 

Riak wajah ibu kepada dua orang anak itu sunggul sekali. Sesekali bibirnya mencebik menahan kesedihan.

Baiklah. Anda rasa, apakah sebenarnya yang melanda hubungan Hasleen dan suaminya? Apakah hubungan mereka sedang diserang masalah?

Ya. Itu adalah salah satu daripada isyarat atau tanda hubungan suami isteri yang ‘sakit’.

“Alahai… Biasalah. Sedangkan lidah lagi tergigit, ini pula suami isteri.”

Benar, kita tidak boleh menafikan, hubungan suami isteri boleh diibaratkan seperti sesuatu yang hidup. Perlu sentiasa dijaga dan diberi perhatian bersama.

Sebaliknya, jika hubungan yang tidak sihat ini dibiarkan sahaja, tanpa berbuat apa-apa tindakan. Keadaan ini boleh menjadi buruk dan sukar untuk diselamatkan

Kesannya, timbul komplikasi pelbagai ‘penyakit’. Paling menakutkan, boleh sampai ke tahap ‘mematikan’ sesuatu kehidupan. Dalam kata lain, berakhirlah hayat rumah tangga itu.

Begitulah serba ringkas gambaran ‘penyakit’ dalam kehidupan berumahtangga

Ramai pasangan suami isteri beranggapan, hubungan tergugat atau berakhir secara tiba-tiba. Tanpa sebab atau petanda. 

Padahal, tiada akibat tanpa sebab. Tidak mungkin hubungan yang pada awalnya bahagia dan harmoni, secara tiba-tiba menjadi kucar-kacir. Mustahil!

Ya, betul. Tiada satu pun masalah dalam rumah tangga berjalan tanpa halangan. Pasti ada gangguan kecil dalam hubungan itu yang mungkin tidak disedari. 

Semakin lama, bertambah parah. Sama seperti barah, sedikit demi sedikit menghancurkan keharmonian rumah tangga.

Tanda hubungan yang sakit ini biasanya mempunyai gejala khusus. Jadi, sangat penting bagi suami isteri ambil tahu sekali gus peka pada gejala hubungan yang mulai sakit.

Stresnya. Apa nak buat ni? Baca ini: Diet Seimbang Elak Stres

Apakah gejala umum yang menunjukkan hubungan anda dan pasangan sedang bermasalah?

Baiklah, di sini kami kongsikan empat petanda yang biasa dihadapi pasangan suami isteri;

Ini 4 tanda hubungan suami isteri bermasalah

1. Menjauh
Sebagai pasangan, anda tentunya sering melakukan sesuatu bersama. Misalnya, pergi ke majlis perkahwinan, membeli-belah atau sekadar menikmati waktu senggang bersama (boleh jadi minum petang atau menonton TV).

Tiba-tiba, sama ada anda atau pasangan mulai melakukannya bersendirian. Alasan yang diberikan biasanya sangat klasik, misalnya; “Saya perlukan ruang (masa) untuk diri sendiri. Salah?”

Dalam hubungan rumahtangga, perkara ini memberi isyarat pasangan tidak lagi berasa selesa dengan kehadiran anda di sisinya. Berhati-hatilah, ini satu daripada 4 tanda hubungan suami isteri bermasalah.

2. Mengeluh
Pada awal perhubungan, kekurangan anda (atau pasangan) mungkin menjadi perkara menyenangkan dan menjadi bahan hiburan.

Apabila hubungan mulai bermasalah, kekurangan anda itu tiba-tiba boleh menimbulkan reaksi berbeza kepada pasangan (atau anda sendiri) seperti teguran, rungutan atau keluhan.

Walaupun ini hanya gejala remeh, tetapi tersembunyi petanda bahawa anda atau pasangan sudah bosan. Jika dibiarkan, memang bermasalah. 

3. Bertengkar
Berasa pasangan anda sengaja mencari masalah hingga setiap hari ada sahaja perkara yang menimbulkan pertengkaran?

Secara sengaja memancing pertengkaran dengan harapan pasangannya berasa bosan dan memutuskan untuk menamatkan sahaja hubungan itu. 

Pertengkaran itu boleh berpunca daripada masalah kecil dan kemudian diperbesarkan. Lalu segera mencari salah anda atau pasangan.

Memang. Hubungan yang sihat juga sering bertengkar, tetapi biasanya menemui jalan keluar selepas pertengkaran selesai. 

Sayangnya, bagi hubungan yang mulai sakit, keadaan itu seperti tiada kesudahan. Bertengkar dan terus bertengkar. Hubungan bertambah dingin dan memenatkan.

4. Orang ketiga
Berhati-hatilah jika dalam apa-apa keadaan atau perbualan seharian, pasangan mulai menyebut orang lain sebagai rujukan tambahan, terutama sekali orang yang disebut wanita (atau lelaki) lain.

Misalnya, ketika anda memilih bergaya dengan gaun merah untuk majlis makan malam, lalu dia berkata, “Kawan sepejabat abang, Mira. Dia pun suka pakai gaun merah macam ni.”

Jika perkara ini selalu terjadi dan meliputi berbagai aspek dalam kehidupan rumah tangga anda, terutama jika yang dirujuk adalah orang sama maka anda perlu waspada.

Secara psikologi, tanda seperti itu menunjukkan pasangan anda sedang memikirkan orang berkenaan.

Tanpa berfikir mengenai orang itu, tidak mungkin dia akan melontarkan kata-kata begitu. 

Tetapi… Jangan lebih-lebih, ya!

Ya, walaupun anda perlu berhati-hati apabila satu daripada empat gejala itu nampak ketara, janganlah sampai terlalu curiga hingga menimbulkan masalah lain.

Berusahalah mencari kebenaran daripada membiarkan kecurigaan menguasai emosi dan kewarasan anda. 

Mungkin petanda itu bersifat sementara sahaja. Sebabnya, dalam hubungan yang paling sihat dan harmoni sekalipun pasti ada waktunya timbul perasaan bosan dan jenuhm(ini perkara biasa khususnya bagi usia perkahwinan matang 20-30 tahun hidup bersama).

Paling penting, selalu muhasabah diri. Tanya diri anda, apakah sepanjang usia perkahwinan, anda telah melakukan yang terbaik buat pasangan? 

Apakah anda sudah berusaha sebaik mungkin untuk membina hubungan yang sihat?

Apa-apa juga masalah yang berlaku dalam rumah tangga, jika salah seorang atau kedua-duanya berusaha ‘menyembuhkan penyakit’ itu, pasti akan ada jalan keluar. 

Saling kerjasamalah dan komited untuk memperbaikinya. 

Ingat, api jangan dibalas dengan api. Nanti terbakar bilik tidur. Eh… Hihihi.

Semoga hubungan dan rumah tangga anda aman bahagia selamanya.

About author

Articles

Berusaha menulis dari hati, dengan harapan anda yang membaca puas hati. Jika anda rasa tulisan saya ini bermanfaat, silakan kongsi dan sebar luaskan kepada kenalan anda. Terima kasih.
Related posts
Gaya Hidup

12 Cara Kulit Muka Kusam Kembali Berseri

Bahagia rasanya jika ada yang memuji wajah kelihatan muda daripada usia sebenar. Sayangnya, ada…
Read more
Gaya Hidup

7 Diet Seimbang Elak Stres

Menjaga dan mengamakan diet seimbang dapat membantu menghindari diri daripada stres. Stres…
Read more
Gaya Hidup

Anak Kerap Tantrum? 5 Cara Elak Anak Mengamuk

Cuba menenangkan anak yang sedang menjerit dan mengamuk tanpa henti bukan mudah. Anak yang…
Read more

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Gaya Hidup

12 Cara Kulit Muka Kusam Kembali Berseri

Worth reading...