Amin Jauhary antara pereka fesyen berpengalaman yang mempunyai aura tersendiri, dengan karya ciptaan tampak minimalis tetapi penuh pesona.
Baca: Himpunan Pesona Syawal Amin Jauhary
Lebih 15 tahun dalam bidang ini, anak kelahiran Banting, Selangor ini, dilihat selesa dengan medium niaga yang ditekuninya iaitu mereka ‘pakaian sedia dipakai’, pada masa sama sentiasa mengikuti perkembangan hala tuju pereka fesyen baharu. Lebih membanggakan, kini hasil rekaannya berjaya membolosi gedung pakaian utama di ibu negara.
Ketika bertemu dengannya dalam sesi ‘sembang ngopi’ kami baru-baru ini, Amin ramah berkongsi pandangan mengenai perkembangan dunia fesyen tempatan.
Baca: Balenciaga Hello Kitty Beg Tangan Untuk Lelaki
Kata pereka yang cukup merendah diri ini, kini ramai pereka fesyen muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Ini satu perkembangan baik, namun harus disertai dengan karya dan hasil kerja yang berkualiti.
Sebagai senior dalam kerjaya fesyen, Amin Jauhary tidak lokek menitip pesanan buat pereka baharu. Bagi Amin, pereka fesyen perlulah menggunakan segala kelebihan untuk mencabar diri dan keluar daripada zon selesa dalam menghasilkan sesuatu rekaan.
“Perkembangan teknologi dan ekonomi sekarang sangat menguntungkan pereka fesyen baharu. Mereka berpeluang menjadi lebih hebat dan berjaya. Berbanding zaman saya dulu, perlu buat rujukan serta kajian sendiri dengan aliran fesyen berubah begitu pantas untuk memastikan rekaan sesuai dan berkualiti.
Baca: 5 Cara Bagaimana Tampil Bergaya Dengan Palazzo Polos
“Saya sendiri masih dalam proses memperbaiki kualiti rekaan saya. Apatah lagi, sejak membabitkan diri dalam bidang rekaan ready to wear. Cabarannya lebih hebat dan memerlukan saya sentiasa peka pada perubahan serta kehendak pelanggan.
Selain bahan rujukan di Internet, buku dan majalah. Mengembara dan melihat perkembangan fesyen di negara luar banyak menambahkan ilmu.
“Ini sekali gus memberi pengalaman dengan melihat perkembangan fesyen luar yang memangnya lebih luas dan mencabar,” ujar graduan kelahiran Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini.
Selesa reka pakaian ‘siap dipakai’
Bercakap mengenai kerjaya dan perniagaan yang diusahakan ketika ini, Amin Jauhary mengakui bersyukur dengan rezeki serta peluang yang sentiasa diberikan Allah kepadanya.
Kini rekaan Amin berjaya membolosi pasaran ‘pakaian siap dipakai’ berjenama sesuai untuk gaya hidup wanita moden.
Kebanyakan koleksi itu boleh didapati di beberapa Parkson terpilih seperti di Kuala Lumpur City Centre (KLCC), One Utama, Pavillion dan Alamanda Putrajaya.
Baca: 5 Cara Bagaimana Tampil Bergaya Dengan Palazzo Polos
“Syukur, semua nikmat yang diberikan-Nya kepada saya amat berharga. Diberi kesihatan yang baik, dapat mengurus kerjaya yang diminati sekali gus memiliki perniagaan sendiri. Semua itu berkat usaha, doa dan restu Allah.
“Dalam perniagaan pakaian ini, saya sentiasa mementingkan kualiti pada keseluruhan pakaian rekaan Amin Jauhary supaya pelanggan berpuas hati.
“Ketelitian dalam rekaan, jahitan manik atau elemen kerja tangan menjadi pertaruhan kerana saya mahu memberi suntikan segar dan terbaik dalam apa juga rekaan yang dihasilkan,” katanya yang menghasilkan rekaan pakaian ‘sedia pakai’ sejak tahun 2000.
Justeru, tidak hairanlan apabila himpunan busana Amin Jauhary sentiasa tampil dengan rekaan penuh pesona, sekali gus mampu menarik perhatian ramai apabila diperagakan.
Dia juga dilabel sebagai pereka ‘kontemporari Asia’, justeru rekaannya banyak dipengaruhi persekitaran, kehidupan, kebudayaan dan cara hidup Asia.
Utamakan Kepuasan Pemakai
Kata Amin, dalam menghasilkan pakaian rekaannya sama ada untuk pasaran ready to wear mahupun tempahan, dia lebih gemar menggunakan fabrik sifon, sutera atau crepe nipis kerana mudah dibentuk.
Pelanggan juga menggemarinya kerana fabrik itu mengikut potongan badan dan ‘terletak’ cantik apabila dipakai.
Baca: 4 Cara Suai Padan Warna Dan Corak Elak Tampil Pelik
“Saya lebih selesa menampilkan potongan ringkas dan senang disesuaikan dengan cita rasa pelanggan.
“Sebenarnya, rekaan saya sesuai untuk ke pelbagai majlis sama ada eksklusif, keraian atau majlis raja sehari, bersantai mahupun majlis ilmu.
“Misalnya, Kurung Kedah atau moden, peplum atau blaus menyempurnakan penampilan jika dipadan dengan aksesori atau tudung.
“Blaus pula, mudah dipadan bersama skirt mahupun denim untuk tampil santai, pada masa sama kelihatan bergaya.” katanya yang membabitkan diri dalam bidang fesyen sejak 1998 sebaik menamatkan pengajiannya di UiTM.
Profil:
Nama: Amin Jauhary
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Rekaan Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM)
ASAL: Banting, Selangor
Status: Bujang